SELEPAS hampir sedekad lamanya Lapangan Terbang Changi Singapura menduduki tangga teratas dalam senarai  lapangan terbang terbaik dunia, tempat itu akhirnya dipintas oleh sebuah lagi lapangan terbang di Asia.

Dalam senarai terbaharu oleh Skytrax, Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di Doha, Qatar dinobatkan sebagai Lapangan Terbang Terbaik Dunia pada anugerah World Airport Awards 2021.

Lapangan terbang Changi pula jatuh ke tangga ketiga di belakang Lapangan Terbang Haneda Tokyo, Jepun.

Jurucakap Skytrax Edward Plaisted memaklumkan, kedudukan tersebut dipilih oleh orang ramai melalui kaji selidik yang dijalankan untuk tempoh dari Ogos 2020 hingga Julai 2021 dan turut dipengaruhi oleh krisis COVID-19 yang melanda dunia.

Tambahnya lagi, Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad yang dirasmikan pada tahun 2014 itu dengan pantas menjadi kegemaran ramai  atas faktor perkhidmatannya yang tidak terjejas sepanjang pandemik.

Malahan, ia telah membuat kemajuan pesat selama bertahun-tahun kebelakangan ini dengan memperkenalkan khidmat kesihatan dan keselamatan lapangan terbang tambahan kepada penumpang.

Selain itu, Lapangan Terbang Istanbul, Turki pula dipilih sebagai lapangan terbang dengan prestasi paling meningkat, naik dari tangga ke 102 pada tahun 2020 ke tangga 17 pada tahun ini.

Sementara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pula berada di kedudukan ke-55 dalam senarai itu.

Berikut 10 senarai lapangan terbang terbaik dunia 2021:

1. Hamad International - Qatar
2. Tokyo Haneda - Jepun
3. Lapangan Terbang Changi Singapura
4. Seoul Incheon - Korea Selatan
5. Tokyo Narita - Jepun
6. Munich - Jerman
7. Zurich - Switzerland
8 .London Heathrow - UK
9. Kansai - Jepun
10. Hong Kong