Lapangan Terbang Heathrow catat Oktober paling sibuk dalam sejarah

Lapangan Terbang Heathrow London melaporkan pada Selasa yang Oktober adalah bulan paling sibuk, dengan 7.4 juta penumpang melalui empat terminalnya. - Gambar fail/REUTERS
LONDON: Lapangan Terbang Heathrow London melaporkan pada Selasa yang Oktober adalah bulan paling sibuk, dengan 7.4 juta penumpang melalui empat terminalnya, lapor PA Media/dpa.
Angka itu menandakan peningkatan 2.1 peratus daripada 7.2 juta yang dicatatkan pada bulan yang sama tahun lalu.
Lapangan terbang itu mengaitkan kesibukan itu disebabkan oleh cuti sekolah, dengan lonjakan permintaan untuk penerbangan ke bandar Eropah seperti Brussels, Lyon, Marseille dan Vienna.
Trafik penumpang di Heathrow dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini hanya meningkat sebanyak 0.5 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2024, kerana dua landasan lapangan terbang itu beroperasi hampir mencapai kapasiti penuh.
Menurut pengurusan lapangan terbang itu, ia akan memberikan maklum balas minggu ini terhadap permintaan kerajaan United Kingdom (UK) untuk maklumat lanjut mengenai cadangan peluasan, termasuk membina landasan penuh sepanjang 3,500 meter dan pemindahan lebuh raya M25.
Pihak lapangan terbang menyifatkan cadangan itu sebagai "satu-satunya pilihan yang dapat memacu pertumbuhan negara semasa pembinaan dan selepas ia dibuka."
Sebuah syarikat swasta, Arora Group, juga memohon kebenaran untuk membina landasan sepanjang 2,800 meter, yang akan mengelakkan keperluan untuk mengalihkan lebuh raya.
Ketua Eksekutif Heathrow Thomas Woldbye berkata "angka itu membuktikan segalanya iaitu kerjasama syarikat penerbangan membolehkan Heathrow memberi perkhidmatan kepada lebih ramai penumpang tepat pada masanya berbanding hab Eropah yang lain.
Kami mempunyai kepakaran dan pengetahuan untuk membangunkan lapangan terbang bertaraf dunia hari ini dan kami bersedia untuk memperluas pintu masuk utama UK ke arah pertumbuhan."
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


