Skip to main content

Dunia

Lapangan terbang Itali gantung operasi penerbangan susulan aktiviti Gunung Etna

[TB]_Mount Etna Italy_REUTERS
Pemandangan dari dron menunjukkan abu dan asap gunung berapi menjulang ke udara ketika letusan Gunung Etna, dilihat dari Trappeto, Sicily, Itali, pada Isnin. - Gambar Reuters
Advertisement

ROM: Lapangan Terbang Catania di Sicily, Itali, menggantung sementara semua operasi penerbangan pada Isnin susulan peningkatan aktiviti Gunung Etna yang memuntahkan abu tebal ke ruang udara.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pihak lapangan terbang menerusi laman web rasminya, semua ketibaan dan pelepasan penerbangan dihentikan buat sementara waktu sebagai langkah keselamatan.

“Ketibaan dan pelepasan di Lapangan Terbang Catania digantung,” menurut kenyataan tersebut.

Lapangan terbang itu, yang mengendalikan kira-kira 12 juta penumpang setahun, sebelum ini turut ditutup selama seminggu pada Ogos lalu ketika musim cuti musim panas berada di kemuncaknya, akibat aktiviti Gunung Etna.

Insiden berulang itu mencetuskan gesaan supaya Lapangan Terbang Catania ditutup secara kekal dan operasi penerbangan dipindahkan ke hab lain di Sicily yang dicadangkan untuk diperluaskan.

Gunung Etna terletak kira-kira 40 kilometer dari Catania dan sering mencetuskan gangguan kepada operasi penerbangan di kawasan berkenaan.

Letusan besar yang berlaku pada Ogos lalu turut menarik ribuan pengunjung ke kawasan gunung berapi itu bagi menyaksikan aliran lava yang dapat dilihat dari jarak dekat.

Dengan ketinggian 3,324 meter, Gunung Etna merupakan gunung berapi aktif tertinggi di Eropah dan terkenal dengan aktiviti letusannya yang kerap berlaku sepanjang tahun. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement