Skip to main content

Malaysia

Kecemerlangan universiti perlu seiring tadbir urus berintegriti - Raja Muda Kedah

Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin bertitah tadbir urus yang baik merupakan asas penting dalam memastikan sesebuah institusi mengekalkan kepercayaan semua pihak berkepentingan. - Foto FB Kedah Royal Family
Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin bertitah tadbir urus yang baik merupakan asas penting dalam memastikan sesebuah institusi mengekalkan kepercayaan semua pihak berkepentingan. - Foto FB Kedah Royal Family

Ringkasan AI

  • Raja Muda Kedah menegaskan tadbir urus telus, berintegriti dan bertanggungjawab penting untuk kecemerlangan serta kepercayaan terhadap institusi universiti.
  • Baginda menekankan keperluan ketelusan dalam pengurusan dana awam, pelaporan jelas dan pelaksanaan audit bagi memperkukuh akauntabiliti institusi.
  • UUM diiktiraf antara 15 universiti terbaik Malaysia dan bidang Perakaunan serta Kewangannya tersenarai 101-150 terbaik dunia dalam QS World University Rankings.
Advertisement

SINTOK: Kecemerlangan sesebuah universiti tidak hanya dinilai berdasarkan pencapaian akademik, kedudukan dalam penarafan antarabangsa dan pengiktirafan malah ia turut disokong tadbir urus yang telus, berintegriti serta bertanggungjawab.

Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin bertitah tadbir urus yang baik merupakan asas penting dalam memastikan sesebuah institusi bukan sahaja mencapai kecemerlangan, malah mengekalkan kepercayaan dan keyakinan semua pihak berkepentingan.

Baginda yang juga Pro-Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) bertitah perkara itu perlu diberi perhatian oleh seluruh warga universiti, khususnya dalam membuat keputusan, mengurus sumber dan melaksanakan setiap tanggungjawab yang diamanahkan.

Advertisement

"Reputasi sesebuah institusi tidak seharusnya dinilai seratus peratus berdasarkan pencapaian, kejayaan, kedudukan atau pengiktirafan yang dicapai tetapi juga berdasarkan cara ia ditadbir," titah baginda pada Majlis Konvokesyen Ke-39 UUM Sesi Kedua di sini hari ini.

Tengku Sarafudin bertitah tadbir urus yang baik mestilah berteraskan nilai integriti, akauntabiliti, ketelusan dan keadilan, selain sentiasa mematuhi undang-undang bagi memastikan organisasi beroperasi secara bertanggungjawab.

Advertisement

Titah baginda sesebuah organisasi mungkin berjaya meraih pelbagai pengiktirafan dan anugerah, namun kelemahan dalam tadbir urus boleh mengakibatkan kesan negatif termasuk isu berkaitan alam sekitar dan kesihatan.

Sehubungan itu, baginda menegaskan ketelusan merupakan elemen penting dalam memastikan setiap keputusan dibuat menerusi proses yang jelas, adil dan konsisten, sekali gus memperkukuh kredibiliti sesebuah institusi.

Tengku Sarafudin turut bertitah perkara yang melibatkan kepentingan umum, khususnya pengurusan dan perbelanjaan dana awam, perlu direkodkan serta dilaporkan dengan jelas, manakala pelaksanaan audit penting bagi memperkukuh akauntabiliti institusi.

Dalam pada itu, baginda menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian UUM yang berjaya diiktiraf dalam kelompok 15 universiti terbaik Malaysia menerusi QS World University Rankings 2027.

Kejayaan itu turut diperkukuh apabila bidang Perakaunan dan Kewangan UUM melonjak ke kedudukan antara 101 hingga 150 terbaik dunia dalam QS World University Rankings by Subject 2026 berbanding kedudukan 151 hingga 200 sebelum ini.

Baginda bertitah UUM turut menduduki tangga teratas di Malaysia berdasarkan indikator pernyataan atau citation dan H-indeks bagi bidang berkenaan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement