Skip to main content

Malaysia

Banjir: Mangsa di Perak terus meningkat, Selangor dan Pulau Pinang menurun

Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Hilir Perak memasang khemah penempatan sementara bagi mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) pada Ahad. - Bernama
Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Hilir Perak memasang khemah penempatan sementara bagi mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) pada Ahad. - Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Perak terus meningkat kepada 1,120 orang daripada 405 keluarga petang ini berbanding 1,110 orang daripada 392 keluarga pagi tadi, manakala Selangor dan Pulau Pinang mencatatkan penurunan.

Di PERAK, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan Manjung menjadi daerah terbaharu dilanda banjir, apabila Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Rendah Agama Rakyat Padang Serai dibuka pada 2 petang tadi, menempatkan 50 orang daripada 14 keluarga.

Di daerah Larut, Matang dan Selama, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang menempatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 281 orang, diikuti SK Matang (143), SK Ayer Putih (96), SK Batu Hampar (78) dan SK Matang Gelugor (77).

Advertisement

PPS lain ialah Dewan Changkat Larah (60), Dewan Orang Ramai (DOR) Kampung Simpang Halt (59) dan Dewan Serbaguna Taman Orang Kaya (57).

Di daerah Kerian, 19 mangsa banjir dan tanah runtuh berlindung di PPS SK Bukit Merah manakala Dewan Serbaguna Gunung Semanggol (45) serta PPS Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) di daerah Hilir Perak masih menempatkan 167 orang daripada 51 keluarga.

Advertisement

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Taiping ACP S Saravanan dalam kenyataan memaklumkan operasi Balai Polis Simpang yang turut dilanda banjir sejak petang semalam, dihentikan sementara sehingga keadaan selamat untuk beroperasi semula.

“Orang ramai yang ingin membuat sebarang aduan polis boleh berurusan di Balai Polis Taiping atau Balai Polis Changkat Jering,” katanya.

Sementara itu di SELANGOR, jumlah mangsa banjir menurun sedikit kepada 1,313 orang daripada 348 keluarga yang masih berlindung di enam PPS di Kuala Selangor petang ini, berbanding 1,371 orang daripada 362 keluarga pagi tadi.

Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS SK Parit Mahang menempatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 375 orang, diikuti SK Dato' Maharaja Lela (363), Sekolah Rendah Agama (SRA) Bukit Kuching (278), DOR Bukit Kuching Tengah (117), Kafa Integrasi Hidayah Bukit Cherakah (114) dan SRA Batu 8 Ijok (66).

Di PULAU PINANG, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 34 orang daripada 11 keluarga petang ini berbanding 95 orang daripada 26 keluarga pagi tadi, yang ditempatkan di PPS Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Kechil di Nibong Tebal.

Menurut portal InfoBencana JKM, kebanyakan mangsa dibenarkan pulang selepas air banjir surut dan keadaan cuaca semakin baik, manakala mangsa yang masih berada di PPS berkenaan belum dapat pulang kerana kediaman mereka belum selesai dibersihkan sepenuhnya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement