LONDON: Kerajaan Britain sedang mempertimbang untuk 'memaksa' dan mewajibkan syarikat media sosial mengutamakan sumber berita yang dianggap sahih, sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas untuk memperketat kawal selia sektor itu.
Jabatan Kebudayaan dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan, pihaknya sedang menilai keperluan agar platform seperti Facebook milik Meta, YouTube milik Alphabet dan TikTok memudahkan kandungan daripada media perkhidmatan awam - termasuk BBC, ITV dan Channel 4 serta penyedia berita dipercayai lain untuk ditemui dalam paparan dan carian pengguna.
Langkah itu dibuat seminggu selepas kerajaan mengumumkan larangan penggunaan kebanyakan platform media sosial oleh individu berumur bawah 16 tahun.
Data daripada pengawal selia media Ofcom menunjukkan media sosial kini menjadi sumber utama berita bagi majoriti orang dewasa di United Kingdom, selain kira-kira tiga perempat golongan muda berusia 16 hingga 24 tahun.
Penyelidikan berasingan Ofcom pada 2024 turut mendapati empat daripada 10 orang dewasa di UK pernah berdepan maklumat salah dalam tempoh sebulan, dengan kebanyakannya berlaku dalam talian.
“Mengambil kira cabaran maklumat salah dan tidak tepat yang semakin sengit, adalah penting untuk memastikan orang ramai mempunyai akses lebih baik kepada berita yang sahih dan tepat, serta memastikan media perkhidmatan awam yang dikawal selia dapat dilihat dan didengar,” kata Menteri Kebudayaan, Lisa Nandy.
Menurut kerajaan, usaha meningkatkan keterlihatan penyedia berita yang dikawal selia boleh membantu menangani penyebaran maklumat salah, khususnya ketika berlakunya krisis.
Bagaimanapun, sebarang langkah untuk mempengaruhi cara platform menyusun kandungan dijangka berdepan penelitian daripada syarikat media sosial, yang berpendapat peraturan sedemikian boleh menjejaskan pilihan pengguna serta merugikan pencipta kandungan lain.
Setakat ini, X, Meta, TikTok dan YouTube belum memberikan maklum balas terhadap permintaan komen.
Cadangan itu merupakan sebahagian daripada rombakan lebih menyeluruh sistem media perkhidmatan awam Britain bagi membantu penyiar bersaing dengan platform penstriman serta perubahan corak tontonan.
Selain itu, menteri turut mempertimbang untuk memperluas status media perkhidmatan awam kepada penyedia yang beroperasi sepenuhnya dalam talian, melanjutkan perlindungan siaran percuma bagi acara sukan utama kepada tontonan atas permintaan, serta berunding mengenai peralihan kepada televisyen berasaskan internet seawal 2034 atau 2044. - Agensi