WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS ),Donald Trump berkata pada Rabu, beliau akan bertemu rakan sejawatannya dari China, Xi Jinping, di Beijing pada bulan Mei selepas sidang kemuncak yang dirancang lebih awal terpaksa ditunda kerana perang terhadap Iran.
Trump berkata, beliau menantikan lawatan yang disifatkannya sebagai “monumental”, yang pada asalnya dijadual berlangsung pada akhir bulan ini.
Advertisement
Beliau turut merancang untuk menjadi tuan rumah kepada Xi dan isterinya di Washington pada akhir tahun ini.
Trump menulis di platform Truth Social: “Pertemuan saya dengan Presiden China yang sangat dihormati, Presiden Xi Jinping, yang pada asalnya ditangguhkan akibat operasi ketenteraan kami di Iran, kini dijadual semula dan akan berlangsung di Beijing pada 14 dan 15 Mei.”
Beliau menambah, pegawai-pegawai AS dan China sedang “memuktamadkan persiapan” bagi lawatan bersejarah ke Beijing dan Washington.
“Saya sangat menantikan masa bersama Presiden Xi dalam apa yang pasti menjadi satu Acara yang Monumental,” katanya.
White House mengumumkan tarikh baharu itu tidak lama sebelum hantaran Trump di media sosial.
Trump pada awalnya dijadual melawat Beijing antara 31 Mac dan awal April untuk pertama kali dalam penggal keduanya, bagi menghadiri sidang kemuncak yang bertujuan merombak semula hubungan perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia.
Kedua-dua Presiden itu sebelum ini bertemu di Korea Selatan pada Oktober lalu di sela-sela satu sidang serantau dan mencapai gencatan dalam perang perdagangan yang tercetus ekoran tarif global besar-besaran yang dikenakan Trump.
Namun pada 16 Mac, Trump berkata, beliau meminta China untuk menangguhkan pertemuan itu sementara beliau menangani perang di Timur Tengah.
“Kerana perang ini, saya mahu berada di sini — saya rasa saya perlu berada di sini. Jadi kami meminta agar ia ditangguhkan sebulan atau lebih,” kata Trump kepada wartawan ketika itu.
Sementara itu, White House enggan mengulas sama ada penjadualan semula itu menandakan Trump menjangkakan perang dengan Iran - salah satu sekutu geopolitik terdekat China akan berakhir sebelum tarikh tersebut.
Jurucakap White House, Karoline Leavitt, berkata: “Kami sentiasa menganggarkan operasi ketenteraan terhadap Iran akan berlangsung kira-kira empat hingga enam minggu, jadi boleh kira sendiri.”
Beliau menambah bahawa Presiden Xi memahami keperluan Trump untuk berada di AS sepanjang operasi ketenteraan itu dan menerima permintaan penangguhan tersebut.
Namun penganalisis berpendapat, China mungkin berada dalam kedudukan lebih kukuh untuk menuntut konsesi apabila Trump akhirnya melakukan lawatan itu.
Keputusan Trump bulan lalu untuk menyertai Israel melancarkan serangan terhadap Iran menyebabkan keganasan meningkat di Asia Barat, menaikkan harga tenaga ke paras tertinggi dalam beberapa tahun, dan menimbulkan kebimbangan kekurangan bekalan global berikutan Iran hampir menutup Selat Hormuz.
Dengan Trump bergelut menentukan bagaimana campur tangan itu akan berakhir, dan sekutu tradisional enggan memberikan sokongan penuh, pemimpin AS itu mungkin akan bertemu China dalam keadaan memerlukan kemenangan diplomatik.
Kedudukan Trump yang semakin lemah boleh menguatkan hujah Beijing untuk mendesak pemotongan tarif yang lebih besar serta mengehadkan kemampuan Washington untuk menekan isu perdagangan lain seperti akses kepada mineral kritikal. - Agensi