Lebam pada tangan Donald Trump cetus spekulasi

Kesan lebam jelas pada tangan Presiden Amerika Donald Trump, kembali mencetuskan persoalan mengenai tahap kesihatannya pada Khamis semasa Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland. - Gambar Reuters
WASHINGTON: Beberapa keping foto terbaharu yang memaparkan kesan lebam jelas pada tangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, kembali mencetuskan persoalan mengenai tahap kesihatannya pada Khamis (22 Jan).
Namun White House segera menepis spekulasi itu, menjelaskan bahawa lebam berkenaan berpunca daripada beliau terhentak meja.
Trump, 79, sebelum ini kerap dilihat dengan kesan lebam pada tangan kanan sejak kembali ke White House tahun lalu - sering ditutup dengan pembalut atau alat solek.
White House sebelum ini memaklumkan, lebam tersebut berpunca daripada tabiat beliau berjabat tangan dengan ramai individu dan pengambilan aspirin untuk kesihatan kardiovaskular, yang boleh meningkatkan kecenderungan lebam.
Namun, gambar baharu yang dirakam semasa Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland, pada Khamis memaparkan lebam gelap di lokasi sama - kali ini di tangan kiri.
Foto itu dirakam ketika Trump menghadiri majlis pelancaran inisiatif global “Lembaga Keamanan”, sebelum tular di media sosial.
White House dalam reaksinya meredakan kebimbangan dengan Setiausaha Akhbar, Karoline Leavitt menjelaskan, Trump “terhentak tangan pada bucu meja ketika sesi menandatangani dokumen,” menyebabkan lebam berkenaan.
Gambar yang diambil pada awal acara Lembaga Keamanan tersebut - dan sehari sebelumnya - tidak menunjukkan sebarang lebam pada tangan kiri.
Spekulasi mengenai tahap kecergasan Trump terus hangat diperkatakan memandangkan usia beliau, termasuk episod lebam pada tangan, bengkak pada kaki dan beberapa detik beliau kelihatan tertidur semasa acara awam.
Tahun lalu, pentadbiran memaklumkan, bengkak pada kaki Trump adalah simptom ketidakcukupan vena kronik, iaitu keadaan biasa apabila injap vena yang lemah menyebabkan darah berkumpul, sekali gus mengakibatkan bengkak, kejang dan perubahan kulit.
Keadaan itu boleh dikawal melalui ubat atau prosedur khusus.
Lawatan hospital tanpa pengumuman rasmi tahun lalu turut mencetuskan lebih banyak tanda tanya mengenai ketelusan keadaan kesihatannya.
Beberapa minggu selepas lawatan itu, doktor Presiden memaklumkan hasil imbasan MRI menunjukkan Trump berada dalam “keadaan kardiovaskular yang cemerlang.” - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


