YAOUNDE (CAMEROON): Lebih 100 pelombong maut pada Selasa selepas sebuah lombong emas runtuh di sebuah kampung sempadan antara Cameroon dan Republik Afrika Tengah (CAR), menurut pegawai dan media tempatan, lapor Xinhua.
Gabenor Wilayah Timur Cameroon yang bersempadan dengan CAR Gregoire Mvongo berkata kejadian itu berlaku kira-kira 2 petang waktu tempatan di Kampung Zamboye.
“Zamboye ialah sebuah kampung sempadan, namun lombong itu runtuh di sebelah CAR. Kira-kira tiga hingga lima rakyat Cameroon maut. Kami sedang melakukan segala yang termampu untuk menyelamatkan mangsa,” kata Mvongo kepada Xinhua menerusi telefon.
Media Kerajaan Cameroon, CRTV, melaporkan angka korban melebihi 100 orang. Beberapa media tempatan lain melaporkan 107 mayat ditemukan daripada runtuhan.
Oriegene Dokna, seorang penduduk berhampiran lokasi kejadian, menyifatkan tragedi itu sebagai sesuatu yang mengejutkan masyarakat setempat.
“Kami terkejut dengan tragedi ini. Keluarga berkabung sejak semalam. Ini situasi yang sukar untuk diterima,” kata Dokna kepada Xinhua.
Pegawai tempatan berkata pasukan penyelamat masih berusaha untuk menyelamatkan pelombong yang dipercayai terperangkap di bawah tanah.
-- BERNAMA-XINHUA