DUNIA
Lebih 100 NGO kutuk sekatan Israel terhadap bantuan kemanusiaan ke Gaza

Lebih 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengecam tindakan Israel yang enggan membenarkan bantuan kemanusiaan penyelamat nyawa dibawa masuk ke Semenanjung Gaza. - Gambar fail/AP
MOSCOW: Lebih 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk badan kebajikan perubatan, Doktor Tanpa Sempadan (Medecins Sans Frontieres), mengecam tindakan Israel yang enggan membenarkan bantuan kemanusiaan penyelamat nyawa dibawa masuk ke Semenanjung Gaza, lapor Sputnik/RIA Novosti.
"Daripada menyelesaikan lambakan barangan yang semakin meningkat, pihak berkuasa Israel menolak permintaan puluhan NGO untuk membawa masuk barangan penyelamat nyawa dengan alasan pertubuhan ini 'tidak diberi kuasa untuk menyalurkan bantuan' ... Tindakan menghalang ini telah menyebabkan barangan bernilai jutaan dolar termasuk makanan, ubat-ubatan, air dan kelengkapan tempat tinggal terkandas di gudang di Jordan dan Mesir, sementara rakyat Palestin sedang dibiarkan kelaparan," menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Rabu.
Pertubuhan itu mengkritik Israel kerana mengelirukan orang ramai dengan mendakwa tiada had terhadap kemasukan bantuan ke Semenanjung Gaza, sedangkan kebanyakan organisasi antarabangsa tidak dapat menyalurkan bantuan ke wilayah itu sejak 2 Mac.
Lebih 60 permohonan untuk menghantar bantuan telah ditolak oleh Israel pada Julai sahaja.Pertubuhan berkenaan menggesa masyarakat antarabangsa menekan Israel "agar menghentikan tindakan menjadikan bantuan sebagai senjata, termasuk melalui halangan birokrasi seperti prosedur pendaftaran INGO," merujuk kepada langkah pendaftaran NGO antarabangsa yang diperkenalkan Israel baru-baru ini.
Kementerian Kesihatan Gaza pada Rabu berkata jumlah kematian akibat kekurangan zat makanan di wilayah Palestin itu meningkat kepada 235 orang, termasuk 106 kanak-kanak.
Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Volker Turk minggu lalu berkata penafian makanan kepada orang awam di Gaza oleh Israel mungkin boleh dianggap sebagai jenayah terhadap kemanusiaan.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami