Skip to main content

Dunia

Lebih 100 terkorban lombong emas runtuh di Republik Afrika Tengah

Video shows mine collapse in Central African Republic with scores dead -- AP Video Screenshot
Lebih 100 orang dikhuatiri terkorban selepas sebuah lombong emas artisanal runtuh dalam kejadian tanah runtuh berskala besar di barat Republik Afrika Tengah (CAR), berhampiran sempadan Cameroon, menurut laporan media antarabangsa. - Foto AP
Advertisement

BANGUI: Lebih 100 orang dikhuatiri terkorban selepas sebuah lombong emas artisanal runtuh dalam kejadian tanah runtuh berskala besar di barat Republik Afrika Tengah (CAR), berhampiran sempadan Cameroon, menurut laporan media antarabangsa.

Insiden tragis berkenaan berlaku di tapak perlombongan terbuka di perkampungan Zamboye, kira-kira 50 kilometer dari bandar Baboua, wilayah Nana-Mambere, ketika ratusan pelombong tradisional sedang bekerja.

Menurut sumber tempatan dan sukarelawan Palang Merah, runtuhan tanah tersebut menimbus beberapa terowong bawah tanah serta ratusan pekerja yang berada di dalam lubang galian.

"Tanah runtuh sepenuhnya dan menimbus orang ramai di bawah," kata seorang pelombong, Cedric Mbango, sambil menyifatkan kejadian itu sebagai malapetaka besar.

Pendakwa raya tempatan di Baboua mengesahkan kejadian itu berpunca daripada kegagalan struktur beberapa terowong bawah tanah dan satu siasatan kehakiman telah dibuka bagi mengenal pasti pihak yang mengendalikan tapak haram berkenaan.

Timbalan Datuk Bandar di wilayah berkenaan, Souleymane Bi, memaklumkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) berdepan cabaran besar berikutan kekurangan peralatan berat, memaksa penduduk setempat menggali timbunan tanah menggunakan peralatan manual.

"Keadaannya amat mengerikan, dan kami merayu bantuan daripada pelbagai organisasi serta pihak berkaitan untuk membantu misi menyelamat," katanya.

Pihak berkuasa Cameroon yang bersempadan dengan kawasan kejadian turut mengesahkan kesiapsiagaan mereka untuk menerima dan merawat mangsa yang cedera di hospital berdekatan seperti Garoua-Boulai, memandangkan sekurang-kurangnya empat daripada mangsa terkorban merupakan warga Cameroon.

Aktiviti perlombongan emas secara artisanal merupakan sumber pendapatan utama bagi jutaan penduduk di benua Afrika, namun ketiadaan kawal selia yang ketat serta piawaian keselamatan yang lemah sering mengundang kemalangan maut yang meragut nyawa.

Must Watch Video

Advertisement