INTERNATIONAL
Lebih 1,000 mati, habitat musnah... beruang koala di ambang kepupusan

Seekor beruang koala yang mengalami kecederaan dalam kebakaran hutan yang melanda Australia baru-baru ini. - Foto Facebook @Wildcare Australia Inc.
Selepas Australia mencatatkan rekod kebakaran hutan terburuk negara itu, populasi beruang koala pula dilaporkan telah merosot dengan mendadak.
Dengan habitat haiwan itu yang musnah dalam bencana itu, beruang koala kini dikategorikan sebagai haiwan separa pupus.
Pengerusi Yayasan Koala Australia, Deborah Tabart menganggarkan lebih daripada 1,000 beruang koala mati dalam kebakaran manakala lebih 80 peratus kawasan habitat haiwan itu musnah.
“Kebakaran hutan baru-baru ini yang disertai dengan kemarau serta penebangan hutan telah membuatkan spesis beruang koala separa pupus.
“Kepupusan separa adalah apabila sebuah populasi menjadi begitu terhad dan mereka tidak lagi memainkan peranan penting dalam ekosistem mereka dan pupulasinya menjadi sukar dalam survival.
“Malah, jumlah beruang koala yang semakin sedikit membuatkan survival jangka panjang spesies itu diragui dan terdedah kepada pelbagai penyakit,” katanya memetik laporan Forbes.
Penebangan dan pembakaran hutan memusnahkan sumber nutrisi utama haiwan itu kerana beruang koala dewasa akan makan sehingga satu kilogram makanan sehari.
Walaupun pokok dan tumbuhan yang menjadi makanan beruang koala boleh tumbuh semula namun ia mengambil masa yang lama selama beberapa bulan sekaligus tiada sumber makanan utama bagi beruang koala dan senario kebuluran kepada spesis itu akan dapat dilihat.
Ramai pihak yang mendesak kerajaan Australia untuk menggubal Akta Perlindungan Koala yang digubal pada 2016 namun ia tidak pernah diluluskan.
Sekiranya diluluskan, Akta Perlindungan beruang koala akan berfungsi untuk melindungi habitat dan pokok penting untuk koala serta melindungi haiwan itu daripada diburu.
Video yang tular baru-baru ini mengenai seorang wanita Australia menyelamatkan beruang koala yang hampir mati dalam kebakaran telah meningkatkan dana untuk rawatan perubatan terhadap beruang koala yang mengalami kecederaan terbakar.
Sebahagian daripada usaha mereka juga adalah untuk memasang stesen minuman bagi beruang koala di kawasan yang terjejas dengan kebakaran selain digunakan untuk ‘Koala Ark’ iaitu tempat perlindungan bagi beruang koala yang terbakar menjalani proses pemulihan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami