PARIS: Lebih 170 migran berjaya diselamatkan selepas bot yang mereka naiki untuk menyeberangi Selat Inggeris menuju ke United Kingdom (UK) terbakar pada Selasa, menurut pihak berkuasa Perancis.
Prefektur Maritim Selat Inggeris dan Laut Utara memaklumkan bot berkenaan berlepas dari Perancis pada malam Isnin sebelum enjinya terbakar pada pagi berikutnya, menyebabkan keadaan bot merosot dengan cepat dan membahayakan penumpang.
Pada awalnya, pihak berkuasa melaporkan 157 migran diselamatkan, namun angka itu kemudiannya disemak kepada 173 orang.
Kesemua mereka dibawa ke Boulogne-sur-Mer, Perancis, manakala 11 individu mengalami kecederaan ringan.
Menurut pihak berkuasa Perancis, lima penumpang terlebih dahulu diselamatkan selepas meminta bantuan.
Bagaimanapun, sebahagian besar migran lain pada mulanya enggan menerima bantuan kerana bertekad meneruskan perjalanan ke UK.
Operasi menyelamat melibatkan aset maritim dari Perancis dan UK, termasuk bot penyelamat RNLI Eastbourne serta kapal Pasukan Sempadan UK, BSC Contender dan BSC Courageous.
Seramai 40 anggota bomba, 13 pegawai polis, tujuh jurubahasa dan beberapa petugas perubatan turut mengambil bahagian dalam operasi itu.
Pihak pendakwa raya Perancis telah membuka siasatan berhubung insiden tersebut, manakala seorang lelaki warga Mesir ditahan untuk membantu siasatan.
Menteri Keselamatan Sempadan UK, Anna Turley, berkata kejadian itu membuktikan bahaya perjalanan haram merentasi Selat Inggeris serta ancaman yang ditimbulkan oleh sindiket penyeludupan manusia.
“Insiden ini menunjukkan risiko besar yang dihadapi migran serta tindakan kejam kumpulan penyeludup yang mengatur perjalanan tersebut,” katanya.
Jurucakap kerajaan UK pula berkata setakat ini tiada kematian dilaporkan dan menegaskan bahawa pihak berkuasa akan terus bekerjasama rapat dengan Perancis bagi mengekang penyeberangan berbahaya menggunakan bot kecil.
Insiden itu turut mencatat rekod baharu sebagai cubaan penyeberangan migran terbesar melalui Selat Inggeris, mengatasi rekod sebelum ini iaitu 165 orang dalam sebuah bot yang direkodkan pada bulan lalu.
Isu migrasi haram terus menjadi topik hangat di UK, dengan ribuan migran dikesan memasuki negara itu menggunakan bot kecil setiap tahun.
Kerajaan UK dan Perancis sebelum ini mencapai perjanjian bernilai £662 juta untuk memperkukuh kawalan sempadan dan memerangi sindiket penyeludupan manusia yang beroperasi di sepanjang laluan tersebut.