Skip to main content

Bisnes

Koperasi perlu keluar daripada model tradisional, tarik Gen Z melalui bisnes digital – KKMB

Timbalan Pengerusi Kesatuan Koperasi MIDLANDS Berhad, S. Ahlaimuniandy ketika ditemu bual dalam program Dialog Poket Rakyat pada Jumaat. - foto/Astro AWANI
Timbalan Pengerusi Kesatuan Koperasi MIDLANDS Berhad, S. Ahlaimuniandy ketika ditemu bual dalam program Dialog Poket Rakyat pada Jumaat. - foto/Astro AWANI

Ringkasan AI

  • Gerakan koperasi Malaysia disaran beralih kepada model perniagaan digital untuk menarik penyertaan generasi muda, khususnya Generasi Z.
  • Kemudahan perbankan digital, transaksi dalam talian dan kaedah pembayaran moden seperti BNPL perlu diperluas kepada koperasi bagi kekal relevan dan berdaya saing.
  • Statistik menunjukkan 99.6 peratus individu berumur 20-24 tahun menggunakan internet, menekankan keperluan transformasi digital dalam koperasi.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Gerakan koperasi di Malaysia perlu beralih daripada model perniagaan tradisional kepada pendekatan lebih moden dan berorientasikan digital bagi menarik penyertaan generasi muda, khususnya Generasi Z (Gen Z).

Timbalan Pengerusi Kesatuan Koperasi MIDLANDS Berhad (KKMB), S. Ahlaimuniandy berkata, perubahan gaya hidup dan kecenderungan pengguna muda menuntut koperasi menyesuaikan produk serta perkhidmatan supaya kekal relevan dan berdaya saing.

Menurut beliau, cabaran utama gerakan koperasi ketika ini adalah menarik dan mengekalkan keanggotaan generasi muda yang mempunyai corak kesetiaan pengguna berbeza berbanding generasi terdahulu.

Advertisement

“Koperasi-koperasi ini perlu ikut dan suaikan strategi yang digunakan oleh sektor swasta dan bukan koperasi untuk diperkenalkan (dalam model perniagaan koperasi).

“Dan semuanya (transaksi perniagaan) sekarang dalam talian. Maka, perlulah kita suaikan dengan pendekatan yang disediakan oleh sektor yang bukan koperasi ini,” katanya dalam program Dialog Poket Rakyat pada Jumaat.

Advertisement

Ahlaimuniandy turut menekankan kepentingan memperluas kemudahan perbankan digital, transaksi dalam talian serta perkhidmatan kewangan yang mudah diakses, termasuk mengambil kira populariti kaedah pembayaran Beli Dulu, Bayar Kemudian (BNPL) dalam kalangan pengguna.

Sementara itu, Profesor Jabatan Sains Pemutusan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya (UM), Datin Sri Prof Dr Suhaiza Hanim Mohamad Zailani berpandangan koperasi perlu menawarkan peluang perniagaan yang selari dengan minat dan kecenderungan generasi muda.

Beliau berkata, inovasi model perniagaan termasuk aktiviti keusahawanan berasaskan platform dalam talian mampu menjadi tarikan kepada golongan tersebut untuk menyertai gerakan koperasi.

“Kita perlu cipta bentuk perniagaan yang boleh menarik minat mereka. Perniagaan yang dijalankan dalam struktur kontena atau perniagaan dalam talian, sesuai dengan minat mereka.

“Ini akan menggalakkan mereka menjadi ahli koperasi,” katanya.

Suhaiza turut berkongsi pengalaman memperkenalkan konsep perniagaan kotak makanan dalam gerakan koperasi siswa sebagai contoh pendekatan yang boleh menggalakkan penyertaan ahli melalui aktiviti keusahawanan.

Dalam konteks perkembangan digital negara, laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi 2025 menunjukkan kadar penggunaan internet dalam kalangan individu berusia 20 hingga 24 tahun mencecah 99.6 peratus, manakala kumpulan berusia 15 hingga 19 tahun mencatatkan 98.8 peratus.

Sementara itu, statistik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) merekodkan sebanyak 16,468 koperasi dengan 7.33 juta keanggotaan di seluruh negara pada 2025, termasuk 13,504 koperasi atau kira-kira 82 peratus yang dikategorikan sebagai koperasi mikro.

Perkembangan itu memberikan konteks kepada kepentingan transformasi digital dalam gerakan koperasi, khususnya bagi memperluas peluang perniagaan dan menarik penyertaan generasi muda dalam ekosistem ekonomi berasaskan keanggotaan.

Dialog Poket Rakyat: Ekonomi Koperasi, Kuasa Ekonomi Rakyat?

 

Must Watch Video

Advertisement