BUKAVU: Sekurang-kurangnya 24 murid maut dalam rempuhan ketika cuba menyelamatkan diri daripada kebakaran yang memusnahkan dua buah sekolah di bandar Bukavu, timur Republik Demokratik Congo (DRC), menurut pihak berkuasa tempatan.
Kebakaran yang berlaku di kawasan padat penduduk di komun Kadutu itu turut mengorbankan beberapa orang dewasa, manakala jumlah kematian dijangka meningkat apabila operasi penilaian diteruskan.
Mangsa yang terselamat telah dikejarkan ke hospital berhampiran untuk menerima rawatan, dengan rakaman dari lokasi kejadian menunjukkan beberapa kanak-kanak mengalami kecederaan serius.
Selain meragut nyawa, kebakaran berkenaan turut memusnahkan kira-kira 300 rumah, sekali gus menyebabkan ramai penduduk kehilangan tempat tinggal.
Pihak berkuasa yang dilantik oleh kumpulan pemberontak M23, yang menguasai Bukavu sejak tahun lalu, mengesahkan angka korban sementara sebanyak 24 orang pada Khamis.
Bagaimanapun, mereka tidak menolak kemungkinan jumlah itu meningkat.
Punca kebakaran masih belum dikenal pasti.
Menurut saksi, api berjaya dipadamkan pada sebelah petang namun asap masih kelihatan berkepul dari timbunan runtuhan dan struktur logam yang musnah.
Sementara itu, kerajaan DRC menerusi kenyataan yang dimuat naik di media sosial menyatakan dukacita terhadap tragedi tersebut dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Kementerian Pendidikan negara itu turut mengarahkan penilaian segera terhadap sekolah-sekolah yang terjejas bagi memastikan proses pembelajaran dapat diteruskan secepat mungkin.
Tragedi itu berlaku hanya beberapa hari selepas satu lagi insiden rempuhan maut dalam kebakaran di sebuah dewan majlis perkahwinan di ibu negara, Kinshasa.
Susulan kejadian berkenaan, kerajaan mengarahkan pelaksanaan langkah keselamatan yang lebih ketat serta meningkatkan penguatkuasaan di tempat-tempat awam bagi mengelakkan insiden serupa berulang.