DUNIA
Lebih 30 rakyat Palestin maut ditembak tentera Israel ketika menuju pusat agihan bantuan

Rakyat Palestin berhimpun beramai-ramai sebagai tanda kekecewaan akibat krisis kelaparan dan kenaikan harga barangan susulan sekatan serta serangan berterusan oleh Israel, di Gaza, pada Jumaat lalu. - Gambar Reuters
GAZA: Sekurang-kurangnya 32 penduduk Palestin terbunuh selepas terkena tembakan tentera Israel ketika dalam perjalanan menuju ke sebuah lokasi agihan bantuan di Gaza, awal pagi Sabtu.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza dan Hospital Nasser di Khan Younis, insiden berdarah itu berlaku ketika orang ramai berkumpul bagi mendapatkan bantuan kemanusiaan.
Tentera Israel dalam kenyataannya berkata, pihaknya telah melepaskan tembakan amaran ke arah sekumpulan individu yang didakwa menghampiri kedudukan tentera tanpa mengendahkan arahan supaya berhenti.
Lokasi kejadian didakwa terletak kira-kira satu kilometer dari pusat agihan bantuan yang tidak beroperasi ketika itu.Namun menurut seorang penduduk Gaza, Mohammed Al-Khalidi, tiada sebarang amaran diberikan sebelum tembakan dilepaskan.
“Kami sangka mereka datang untuk mengatur barisan supaya bantuan diagihkan. Tiba-tiba saya lihat kenderaan tentera datang dari satu arah, kereta kebal dari arah lain, dan mereka terus melepaskan tembakan,” katanya.
Sementara itu, Tabung Kemanusiaan Gaza (GHF), yang disokong Amerika Syarikat dan menguruskan pusat agihan bantuan berkenaan, menafikan berlaku sebarang insiden atau kematian di kawasan agihan mereka pada hari kejadian.
“Insiden melibatkan IDF (Pasukan Pertahanan Israel) berlaku beberapa jam sebelum pusat agihan kami dibuka, dan difahamkan kebanyakan kematian berlaku beberapa kilometer dari lokasi GHF,” kata kenyataan badan itu sambil menambah pihaknya telah berulang kali memberi amaran agar orang awam tidak menghampiri kawasan agihan ketika waktu gelap.
Tentera Israel memaklumkan, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Kematian di sekitar lokasi bantuan semakin meningkat
GHF menggunakan syarikat keselamatan dan logistik swasta dari Amerika Syarikat untuk menyalurkan bantuan ke Gaza, dengan kaedah yang sebahagian besarnya memintas sistem yang dikendalikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Israel mendakwa sistem PBB telah disalahgunakan oleh kumpulan militan diketuai Hamas untuk merampas bantuan, namun Hamas menafikan dakwaan tersebut.
PBB sebelum ini menyifatkan pendekatan GHF sebagai tidak selamat dan melanggar prinsip kemanusiaan yang berkecuali – sesuatu yang dinafikan GHF.
Menurut Pejabat Hak Asasi Manusia PBB di Geneva, sekurang-kurangnya 875 kematian direkodkan dalam tempoh enam minggu lalu di sekitar lokasi bantuan dan konvoi makanan di Gaza, kebanyakannya berhampiran pusat agihan GHF.
Sebahagian besar kematian itu dipercayai berpunca daripada tembakan yang menurut penduduk tempatan dilepaskan oleh tentera Israel.
Tentera Israel mengakui terdapat kecederaan dan kematian dalam kalangan orang awam dan memaklumkan bahawa arahan baharu telah dikeluarkan kepada anggotanya hasil daripada "pengajaran yang dipelajari."
Dalam insiden berasingan pada Sabtu, sekurang-kurangnya 18 lagi rakyat Palestin dilaporkan terbunuh dalam beberapa serangan Israel di Gaza.
Tentera Israel mendakwa serangan itu menyasarkan depot senjata dan kedudukan penembak tepat militan.
Krisis kemanusiaan berterusan
Perang tercetus sejak 7 Oktober 2023 apabila militan yang diketuai Hamas menyerbu wilayah selatan Israel dan membunuh sekitar 1,200 orang - kebanyakannya orang awam - serta menculik 251 individu ke Gaza.
Sejak itu, kempen ketenteraan Israel di Gaza telah mengorbankan lebih 58,000 penduduk Palestin, majoritinya orang awam menurut pihak kesihatan, serta menyebabkan hampir keseluruhan penduduk terpaksa melarikan diri dari kediaman mereka.
Wilayah Gaza kini berada di ambang bencana kemanusiaan dengan kemusnahan besar-besaran.
Ketika ini, rundingan tidak langsung antara Israel dan Hamas yang dikendalikan di Qatar sedang dijalankan bagi mencapai persetujuan gencatan senjata selama 60 hari, namun belum menunjukkan tanda-tanda sebarang kemajuan signifikan. - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami