Lebih 316 tapak warisan Gaza musnah, pakar dakwa serangan Israel rompakan budaya terancang

Antara yang paling terjejas ialah Qasr al-Basha, sebuah istana era Mamluk yang terletak di kejiranan al-Daraj, Kota Lama Gaza. - Foto X/Franziska
BANDARAYA GAZA: Serangan berterusan oleh pasukan Israel di Semenanjung Gaza telah memusnahkan sepenuhnya atau sebahagian daripada lebih 316 tapak arkeologi dan bangunan bersejarah, menurut data rasmi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Ringkasan AI
- Pasukan Israel musnahkan lebih 316 tapak arkeologi dan bangunan bersejarah di Semenanjung Gaza, termasuk Qasr al-Basha, istana era Mamluk yang kini rosak sehingga 70% akibat serangan udara.
- Pakar warisan budaya menganggap kemusnahan ini sebagai jenayah di bawah undang-undang antarabangsa dan serangan terhadap warisan budaya global.
- Lebih 20,000 artifak dari era prasejarah hingga Uthmaniyah dilaporkan hilang selepas diserbu dan dimusnahkan oleh tentera Israel di Gaza, menimbulkan kebimbangan global terhadap warisan budaya di wilayah tersebut.
Tapak warisan yang diiktiraf UNESCO itu dibina sejak 800 Sebelum Masihi dan kini mengalami kerosakan sehingga 70 peratus akibat serangan udara Israel.
Pakar pemuliharaan warisan budaya, Hamouda al-Dahdar, menyifatkan kemusnahan ini bukan sekadar akibat konflik, tetapi satu bentuk rompakan budaya yang sistematik.
“Apa yang berlaku adalah jenayah di bawah undang-undang antarabangsa dan merupakan serangan terhadap warisan budaya global,” katanya.
Pasukan teknikal dan pekerja tempatan masih giat mencari artifak yang tertimbus di bawah runtuhan, menggunakan peralatan asas untuk memulihkan dan memelihara identiti sejarah Gaza yang semakin terancam.
Hamouda turut mengesahkan kehilangan lebih 20,000 artifak dari era prasejarah hingga Uthmaniyah yang sebelum ini disimpan di muzium, selepas tapak tersebut diserbu dan dimusnahkan oleh tentera Israel.
“Setiap artifak ini mewakili bab penting dalam sejarah peradaban Palestin,” tambah beliau.
Israel menakluk Semenanjung Gaza pada tahun 1967 dan berundur pada 1994 di bawah Perjanjian Oslo yang dimeterai bersama Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).
Namun, serangan terkini menimbulkan kebimbangan global terhadap masa depan warisan budaya di wilayah yang bergolak ini.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

