Lebih daripada 600 pelajar sekolah agama di Indonesia disahkan positif COVID-19, kata seorang pegawai kementerian kesihatan.

Pelajar-pelajar Sekolah Darussalam Blokagung, sebuah sekolah berasrama di Jawa Timur telah mula menjalani kuarantin selama dua minggu, membabitkan 6,000 pelajar.

Dari jumlah itu, 664 pelajar disahkan positif, lapor AFP.

Sebilangan besar kes melibatkan gejala ringan atau tiada simptom dan pihak berkuasa telah mula menyekat jalan masuk ke sekolah.

"Semua aktiviti mesti dihentikan. Solat berjemaah dihentikan buat sementara waktu dan semua pelajar mesti tinggal di bilik mereka," kata jurucakap Kementerian Kesihatan, Benget Saragih pada Selasa.

Sesi pengujian secara besar-besaran telah dijalankan sejak pertengahan bulan Ogos selepas beberapa pelajar mengadu tidak sihat.

Beberapa jangkitan dalam jumlah kecil dicatatkan Indonesia sejak sesi persekolahan dibuka secara berperingkat bermula Julai lalu.

Indonesia pada Rabu melaporkan lebih daripada 3,000 kes baharu menjadikan jumlah jangkitan setakat ini kepada lebih 180,000 dengan 7,616 kematian.