Skip to main content

Dunia

Lebih 74,000 terkorban di Gaza sejak konflik bermula pada Oktober 2023

Dalam tempoh 24 jam lepas, jasad empat orang yang meninggal dunia serta seorang lagi yang maut akibat kecederaan yang dialami sebelum ini dibawa ke hospital di Semenanjung Gaza. - Gambar fail/ AP
Dalam tempoh 24 jam lepas, jasad empat orang yang meninggal dunia serta seorang lagi yang maut akibat kecederaan yang dialami sebelum ini dibawa ke hospital di Semenanjung Gaza. - Gambar fail/ AP

Advertisement

MOSCOW: Lima rakyat Palestin maut dan 11 lagi cedera di Semenanjung Gaza dalam tempoh 24 jam lepas, menurut Kementerian Kesihatan Gaza menjelang ulang tahun ketiga konflik yang tercetus pada Oktober 2023, lapor Sputnik/RIA Novosti.

 “Dalam tempoh 24 jam lepas, jasad empat orang yang meninggal dunia serta seorang lagi yang maut akibat kecederaan yang dialami sebelum ini dibawa ke hospital di Semenanjung Gaza. 

"Selain itu, 11 orang yang cedera mendapatkan rawatan di hospital,” menurut kenyataan kementerian itu.

Jumlah keseluruhan rakyat Palestin yang terkorban sejak konflik bermula pada Oktober 2023 kini mencecah 74,250 orang manakala jumlah yang cedera ialah 175,278 orang.

Pada Oktober 2023, konflik Palestin-Israel meningkat apabila Israel berdepan serangan roket berskala luar biasa dari Semenanjung Gaza.

Tentera Israel kemudiannya melancarkan operasi darat yang mengakibatkan sebahagian besar Semenanjung Gaza musnah.

Gencatan senjata berkuat kuasa di Semenanjung Gaza sejak Oktober 2025, namun tentera Israel terus melancarkan serangan ke atas wilayah Palestin dengan menyatakan bahawa sasaran mereka ialah kemudahan dan anggota Kumpulan Hamas.

Menurut penilaian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), keadaan kemanusiaan di wilayah itu kekal kritikal berikutan kemusnahan berskala besar, gangguan terhadap operasi institusi perubatan serta kesukaran berterusan dalam menyalurkan makanan dan keperluan asas kepada penduduk.

 -- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

 

 

Must Watch Video

Advertisement