Lebih banyak tangkapan dalam skandal pertaruhan bola sepak di Turkiye - Laporan

Dalam operasi serentak di 11 wilayah, seramai 24 individu ditahan, termasuk Erden Timur dan 14 pemain bola sepak.
ISTANBUL: Pihak berkuasa Turkiye mengeluarkan waran tangkap terhadap 29 individu, termasuk bekas naib presiden kelab Galatasaray Istanbul, Erden Timur berhubung skandal pertaruhan bola sepak yang semakin meluas di negara itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik media tempatan.
Dalam operasi serentak di 11 wilayah, seramai 24 individu ditahan, termasuk Timur dan 14 pemain bola sepak. Seorang lagi suspek dilaporkan telah pun dipenjarakan atas kesalahan lain, manakala usaha mengesan baki empat individu masih diteruskan.
Menurut laporan media, Pejabat Pendakwa Raya Istanbul memaklumkan bahawa pemeriksaan ke atas akaun bank milik Timur mendapati beliau telah melakukan transaksi kewangan yang mencurigakan, sekali gus melanggar beberapa peruntukan undang-undang. Para pemain bola sepak terbabit pula didakwa terlibat dalam aktiviti pertaruhan terhadap keputusan perlawanan.
Pada akhir Oktober, Persekutuan Bola Sepak Turkiye (TFF) mendedahkan dakwaan bahawa seramai 152 pengadil terlibat secara aktif dalam aktiviti pertaruhan.
Kelab dan pemain turut disiasat, dengan seramai 149 pengadil dan lebih 1,000 pemain digantung daripada terlibat dalam sebarang aktiviti bola sepak sepanjang tempoh siasatan.
Seramai 27 pemain daripada liga utama Turkiye, Super Lig turut terlibat, termasuk pemain daripada kelab terkemuka seperti Galatasaray, Fenerbahce, Besiktas Istanbul dan Trabzonspor.
Beberapa pengurusan kelab turut disenaraikan sebagai suspek. Secara keseluruhan, lebih 570 pengadil aktif kini dipercayai terbabit dalam kes berkenaan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


