JAKARTA: Indonesia dan Singapura pada Isnin mengesahkan komitmen mereka untuk melindungi Selat Melaka sambil berjanji meneruskan penyelarasan dengan Malaysia dan Thailand demi memelihara keamanan, keselamatan dan kebebasan pelayaran di laluan air strategik itu.
Presiden Prabowo Subianto berkata Indonesia dan Singapura berkongsi kepentingan bersama dalam memelihara keamanan dan keselamatan di Selat Melaka selaras dengan Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 (UNCLOS).
"Indonesia dan Singapura ialah negara yang bersempadan secara langsung dengan Selat Melaka. Kami mempunyai kepentingan untuk mengekalkan Selat Melaka sebagai laluan yang tetap terbuka kepada semua pihak," katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong di Istana Merdeka di sini pada Isnin, yang disiarkan secara langsung di YouTube.
Kedua-dua pemimpin itu sebelum ini bertemu sempena acara tahunan Pemukiman Pemimpin Indonesia-Singapura bagi membincangkan isu dua hala, serantau dan global.
Prabowo berkata menjaga Selat Melaka juga bermakna melindunginya daripada pencemaran, kemalangan maritim dan lanun, yang disifatkannya sebagai perkara penting bagi negara-negara di sekeliling laluan air itu.
Di luar agenda dua hala, Prabowo berkata beliau dan Wong turut membincangkan isu serantau dan global yang boleh menjejaskan kedua-dua negara.
Beliau berkata mereka menegaskan semula pendirian ASEAN bahawa pertikaian harus diselesaikan secara aman menerusi dialog dan diplomasi, bukan sahaja di Asia Tenggara malah di semua rantau, sambil bersetuju bahawa sebarang salah faham atau persepsi perlu diselesaikan secara terbuka sebagai rakan.
Wong tiba di Jakarta pada petang Ahad untuk Pemukiman Pemimpin tahunan, yang menurut Prabowo adalah pertemuan kedua antara kedua-dua pemimpin itu dan mencerminkan hubungan istimewa antara Indonesia dan Singapura.
Prabowo berkata perbincangan bukan sahaja bertujuan menangani cabaran semasa tetapi juga bagi mempersiap perkongsian Indonesia-Singapura untuk masa depan.
Beliau juga berkata Indonesia dan Singapura akan menyambut ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik tahun depan, menyatakan keyakinan bahawa kerjasama berterusan antara kedua-dua negara akan menyumbang kepada kestabilan, pertumbuhan dan kemakmuran di seluruh Asia Tenggara.
-- BERNAMA