Skip to main content

Malaysia

Venezuela rayu bantuan Malaysia bagi pemulihan pascagempa bumi

KUALA LUMPUR, 6 Julai -- Duta Besar Venezuela ke Malaysia, Radames Gomez Azuaje, tampil sebagai tetamu dalam program Bernama World terbitan Bernama TV yang dihoskan oleh Jessy Chahal (kiri) yang membincangkan After The Quake: Venezuela’s Path To Recovery di Wisma Bernama, hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA  KUALA LUMPUR, July 6 -- Venezuelan Ambassador to Malaysia Radames Gomez Azuaje appears as a guest on the Bernama World programme produced by Bernama TV and hosted by Jessy Chahal (left
Azuaje berkata pihak kerajaan mengalu-alukan semua bentuk bantuan, terutamanya bekalan dan peralatan perubatan yang merupakan antara keperluan paling mendesak ketika ini. - Foto Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Venezuela merayu bantuan daripada Malaysia bagi menyokong usaha pemulihan bencana di negara itu berikutan kejadian gempa bumi kuat bulan lepas yang mengorbankan lebih 3,000 nyawa dan mencederakan ribuan yang lain.

Duta Besar Republik Bolivar Venezuela ke Malaysia, Radames Gomez Azuaje berkata pihak kerajaan mengalu-alukan semua bentuk bantuan, terutamanya bekalan dan peralatan perubatan yang merupakan antara keperluan paling mendesak ketika ini memandangkan ramai mangsa terperangkap di bawah runtuhan dan mengalami kecederaan parah.

“Kami melihat banyak mangsa memerlukan prosedur amputasi, jadi keutamaan segera adalah untuk menerima ubat-ubatan dan peralatan yang diperlukan bagi merawat kes kecemasan berkaitan trauma,” katanya dalam program “Bernama World” di sini pada Isnin.

Beliau berkata di sebalik kemusnahan itu, kerajaan Venezuela tetap teguh dalam melindungi nyawa serta menyokong keluarga yang terjejas.

“Kami mempunyai 17,000 orang yang kehilangan tempat tinggal akibat gempa bumi ini. (Keutamaan kami adalah) menjamin tempat tinggal yang selamat untuk rakyat selepas ini dan meneruskan operasi mencari dan menyelamat.

“Oleh itu, apa sahaja yang boleh menyumbang kepada pencapaian objektif ini amatlah dialu-alukan,” katanya.

Beliau berkata Venezuela telah menubuhkan suruhanjaya bersama presiden untuk menilai infrastruktur sedia ada dan menentukan sama ada bangunan yang masih kukuh dari segi struktur boleh diduduki semula dengan selamat oleh rakyat.

Azuaje berkata kerajaan juga sedang melaksanakan dana khas menggunakan wang yang sebelum ini dibekukan di Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi membiayai rancangan pemulihan dan pembinaan semula, di samping mengenal pasti penyelesaian perumahan buat mereka yang terjejas.

“Situasinya ialah kerajaan Venezuela terus bekerja di lapangan bersama-sama pasukan penyelamat pakar yang datang ke Venezuela untuk menyokong kerajaan, di samping pasukan penyelamat tempatan serta sukarelawan yang bekerja aktif untuk menyelamatkan nyawa.

“Kerajaan bertekad untuk melindungi, menyokong rakyat dan menyediakan semua sokongan daripada bantuan teknikal, bantuan perubatan, bantuan psikologi, serta menyediakan makanan. Kami telah mengedarkan 10,000 tan makanan kepada rakyat,” katanya.

Azuaje berkata Venezuela sedang bekerjasama rapat dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan rakan kongsi antarabangsa untuk menyelaraskan bantuan kemanusiaan serta rancangan pemulihan, termasuk pengagihan makanan dan tindak balas kecemasan.

Pada 24 Jun, dua gempa bumi dengan magnitud 7.2 dan 7.5 melanda negara Amerika Selatan itu dalam selang masa 39 saat, menyebabkan 3,342 orang maut dan 16,740 lagi cedera di utara Venezuela.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement