KALAU di Malaysia sedang hangat isu guru-guru yang berdepan banyak kesulitan menjayakan misi Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) dengan pelbagai keterbatasan, lain pula ceritanya di negara seberang apabila melibatkan tenaga pengajar.

Jabatan Pendidikan Daerah Banyumas di Jawa Tengah, Indonesia telah mengeluarkan surat pekeliling yang melarang guru untuk memuat naik sebarang aktiviti santai di luar skop kerja ke akaun media sosial masing-masing, sewaktu mereka sedang menjalankan kerja dari rumah.

Portal berita Kompas.com melaporkan, Ketua Jabatannya, Irawati, sering mendapati guru-guru berkongsi gambar di WhatsApp yang menunjukkan mereka sedang menikmati makanan bersama rakan-rakan ketika dalam jam bertugas.

“Kadang-kadang ada guru bersama rakan-rakannya makan di warung, terus foto-foto itu dijadikan status di WhatsApp.

“Saya memberi peringatan kepada para guru supaya jangan suka melakukan perkara itu lagi,” kata Irawati.

Jelasnya, golongan guru sepatutnya memberi contoh yang baik kepada masyarakat.

“Walau tak diwajibkan datang ke sekolah dan pejabat, guru harus tetap bekerja dari rumah, bukan bersenang-senang.

“Tapi kami agak sukar untuk mengawalnya, sehingga tindakan lanjut belum dapat kami tetapkan. Paling-paling pun kami akan terus menghubungi pengetua sekolah atau menerusi penyelaras pendidikan wilayah untuk kami sampaikan teguran,” katanya.

Mengulas mengenai isu tersebut, Ketua Suruhanjaya Dewan Perwakilan Rakyat Daerah Banyumas, Mustofa, berkata, tenaga pendidik perlu fokus menyusun strategi belajar secara dalam talian yang inovatif, dan bukannya sibuk ‘beraksi’ di media sosial.

“Dengan adanya pembelajaran secara dalam talian dari rumah, mereka perlu memikirkan kaedah yang menarik.

“Bukannya mereka sendiri yang memuat naik aktiviti sedang bersantai atau makan di warung. Itu tidak perlu,” tegasnya.