awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
MALAYSIA
Anwar anjur majlis makan tengah hari raikan Presiden Republik Kyrgyz
MALAYSIA
COO Prolintas didenda RM100,000, terima rasuah projek lebuh raya
DUNIA
Hampir 19,000 kanak-kanak di Gaza dirawat akibat kekurangan zat makanan
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

DUNIA

Lelaki Britain didakwa anjur ‘perkahwinan olok-olok’ dengan kanak-kanak 9 tahun di Disneyland Paris

Agensi
Agensi
25/06/2025
00:20 MYT
Sponsor Banner
Lelaki Britain didakwa anjur ‘perkahwinan olok-olok’ dengan kanak-kanak 9 tahun di Disneyland Paris
Seorang lelaki warga Britain didakwa di Perancis selepas disyaki menganjurkan majlis ‘perkahwinan olok-olok’ bersama seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun warga Ukraine di Disneyland Paris.
PARIS: Seorang lelaki warga Britain didakwa di Perancis selepas disyaki menganjurkan majlis ‘perkahwinan olok-olok’ bersama seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun warga Ukraine di Disneyland Paris.
Menurut pihak pendakwaan Perancis, lelaki berusia 39 tahun itu adalah pesalah seksual berulang yang turut dikehendaki oleh pihak berkuasa di United Kingdom.
Nama suspek bagaimanapun tidak didedahkan kepada umum.
Suspek ditahan selepas polis dipanggil ke taman tema berkenaan awal pagi Sabtu lalu, susulan laporan daripada seorang individu yang mendakwa telah diupah oleh lelaki itu untuk melakonkan watak sebagai bapa pengantin perempuan.
Individu berkenaan mendakwa menerima bayaran sebanyak €12,000 (kira-kira RM60,000) untuk memainkan peranan tersebut dan hanya menyedari bahawa ‘pengantin’ itu seorang kanak-kanak pada saat akhir, menurut kenyataan pendakwaraya Meaux, Jean-Baptiste Bladier.
Kenyataan itu turut memaklumkan, kanak-kanak perempuan terbabit yang tiba di Perancis dua hari lebih awal tidak menjadi mangsa keganasan fizikal atau seksual dan tidak dipaksa memainkan watak sebagai pengantin.
Seorang wanita yang turut diupah untuk hadir sebagai tetamu memberitahu saluran BFMTV, dia terkejut melihat “seorang budak perempuan berpakaian putih, rambut tersisir rapi, sedang didukung oleh seorang wanita... saya tergamam dan terus menangis.”
“Apabila saya sedar itu adalah seorang kanak-kanak - ia benar-benar mengerikan,” katanya.
Difahamkan sekitar 100 pelakon tambahan rakyat Perancis telah diupah untuk menyertai majlis olok-olok itu yang dirancang untuk dirakam secara persendirian.
Lelaki Britain tersebut dilaporkan menyewa Disneyland Paris selama beberapa jam untuk majlis berkenaan, dan dirinya memainkan watak sebagai pengantin lelaki.
Siasatan awal turut mendapati suspek telah menjalani solekan profesional bagi mengubah penampilan wajahnya sehingga sukar dikenali, menurut pendakwaraya.
Tiga individu lain turut ditahan termasuk ibu kepada kanak-kanak itu yang berusia 41 tahun, seorang wanita Latvia berusia 24 tahun yang memainkan watak kakak pengantin perempuan serta seorang lelaki Latvia berumur 55 tahun.
Namun, menjelang Selasa, hanya lelaki Britain terbabit masih ditahan pihak berkuasa.
Pada 23 Jun lalu, lelaki itu dan wanita Latvia tersebut dihadapkan ke hadapan hakim di Meaux.
Lelaki itu didakwa atas kesalahan melakukan penipuan, pecah amanah, pengubahan wang haram serta pencurian identiti, dan kini ditahan reman.
Sementara itu, wanita Latvia terbabit masih berstatus sebagai saksi dalam siasatan.
Kenyataan pendakwaraya turut memaklumkan, pihak pengurusan Disneyland Paris telah ‘diperdaya’ dan bahawa suspek menggunakan kad pengenalan palsu dari Latvia bagi menyewa lokasi tersebut.
Disneyland Paris boleh disewa orang awam di luar waktu operasi biasa.
Laporan BFMTV turut menyatakan bahawa kos keseluruhan penganjuran majlis olok-olok itu mungkin melebihi €130,000 (sekitar RM660,000).
Pendakwaraya juga mengesahkan bahawa lelaki tersebut pernah disabitkan dengan kesalahan jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan telah disenaraikan dalam pangkalan data pesalah seksual United Kingdom.
Suspek kini dikehendaki di peringkat nasional atas kegagalan mematuhi perintah pemantauan yang dikenakan sebelum ini.
Motif sebenar di sebalik ‘majlis perkahwinan olok-olok’ berkenaan masih belum dapat dipastikan dan siasatan kes masih diteruskan. - Agensi
Topic Berkaitan
#disneyland paris
#perkahwinan olok-olok
#lelaki Britain didakwa
#kanak-kanak 9 tahun
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami