Seorang lelaki dipenjara selama empat minggu selepas cuba memecah masuk kediaman pengurus Manchester United, Jose Mourinho di London, ujar polis Britain pada Isnin.

AFP melaporkan, Gabor Roman, 25, ditahan pada 10 Julai di pinggir jalan di kejiranan mewah di bandar raya itu yang menjadi tempat tinggal Mourinho.

Roman yang hadir dalam perbicaraan di mahkamah London pada Selasa didakwa atas tuduhan percubaan merompak.

“Dia mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara selama empat minggu,” ujar kenyataan daripada pejabat Polis Metropolitan London.

Akhbar The Sun, yang menyiarkan cerita itu di halaman depannya, melaporkan insiden itu berlaku ketika Mourinho sedang menonton perlawanan akhir Euro 2016 yang menyaksikan Portugal merangkul kejuaraan.

Akhbar tabloid itu melaporkan, pembantu rumah Mourinho menjerit sejurus melihat Roman cuba memasuki kediaman itu melalui pintu bilik bawah tanah.

Terdahulu, pengawal keselamatan yang diupah penduduk setempat mendakwa lelaki itu sangat mencurigakan kerana pergi dari satu rumah ke rumah lain, rupa-rupanya untuk cuba membuka pintu.

Sejurus jeritan pembantu rumah Mourinho itu, Roman cuba melarikan diri namun telah ditangkap pengawal keselamatan itu setelah mengepungnya.