Skip to main content

Dunia

Lelaki hilang disyaki diserang jerung di Australia

61667880891_seranganjerung.jpg
Pantai Sorrento, kira-kira 20 kilometer di utara pusat bandar Perth, akan kekal ditutup kepada perenang sekurang-kurangnya sehingga Sabtu. - Gambar hiasan
Advertisement

SYDNEY: Seorang lelaki dilaporkan hilang pada Jumaat selepas disyaki diserang seekor jerung ketika berenang di luar pantai Perth, Australia Barat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) yang memetik media tempatan.

Lelaki itu diserang kira-kira 50 meter dari Pantai Sorrento di utara bandar berkenaan, menurut saksi dan polis yang dipetik media Australia.

Seorang jururawat yang menyaksikan kejadian itu memberitahu Sydney Morning Herald bahawa dia melihat lelaki berkenaan "dibaham" seekor jerung.

Seorang lagi saksi memberitahu penyiar awam ABC bahawa dia melihat darah di dalam air selepas serangan itu.

Lelaki yang hilang itu dipercayai sedang berenang bersama seorang lagi individu, yang berjaya kembali ke pantai.

Polis dan sebuah helikopter polis terlibat dalam operasi mencari perenang yang hilang itu.

Pantai Sorrento, kira-kira 20 kilometer di utara pusat bandar Perth, akan kekal ditutup kepada perenang sekurang-kurangnya sehingga Sabtu, menurut platform SharkSmart.

Kejadian itu berlaku hanya beberapa hari selepas seorang peluncur berusia 56 tahun diserang jerung di Pantai Glenfield, lebih 400 kilometer di utara Perth. Dia dilaporkan kehilangan sebelah kaki dalam serangan itu.

-- BERNAMA-dpa

Must Watch Video

Advertisement