Skip to main content

Dunia

Lelaki maut diserang jerung di perairan Australia Barat

61676888897_Shark.jpg
Orang awam melaporkan ternampak seekor jerung sepanjang kira-kira 4.5 meter berhampiran kawasan kejadian. - Gambar hiasan

SYDNEY: Seorang lelaki maut selepas diserang jerung ketika sedang memancing di perairan Australia Barat, menjadikannya serangan maut ketiga dilaporkan di negara itu dalam tempoh tiga minggu.

Polis memaklumkan mangsa berusia 35 tahun itu diserang pada pagi Sabtu ketika menjalankan aktiviti memancing menggunakan lembing bersama keluarganya di sekitar Pulau Michaelmas, berhampiran bandar Albany.

Menurut pihak berkuasa, mangsa dibawa ke darat dan diberikan rawatan oleh pasukan paramedik, namun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami.

Sementara itu, orang awam melaporkan ternampak seekor jerung sepanjang kira-kira 4.5 meter berhampiran kawasan kejadian, namun spesies haiwan tersebut belum dapat dikenal pasti.

Pulau Michaelmas merupakan kawasan rizab alam semula jadi di selatan negeri itu dan jarang menerima kehadiran pengunjung.

Insiden itu menyusul dua lagi serangan maut jerung sebelum ini, termasuk kematian seorang lelaki berusia 39 tahun di Great Barrier Reef pada 24 Mei, serta seorang lagi lelaki berusia 38 tahun yang maut diserang berhampiran sebuah pulau dekat Perth kira-kira 10 hari sebelumnya.

Data kumpulan pemuliharaan menunjukkan sekitar 20 serangan jerung dilaporkan setiap tahun di Australia, namun kebanyakannya tidak membawa maut.

Malah, kes lemas di pantai negara itu dilaporkan jauh lebih tinggi berbanding serangan jerung.
 

 

Must Watch Video

Advertisement