INTERNATIONAL
Lelaki rempuh pejalan kaki di Times Square akui pernah cuba dapatkan bantuan

Rojas memandu kereta Honda miliknya dan merempuh kawasan Seventh Avenue yang dipenuhi pejalan kaki. - Foto REUTERS/Stephanie Keith
Bekas anggota tentera laut Amerika Syarikat yang didakwa membunuh seorang wanita muda dan mencederakan 20 yang lain selepas merempuh laluan pejalan kaki Times Square baru-baru ini, memberitahu media dia pernah cuba mendapatkan rawatan psikiatri.
"Saya mahu dapatkan bantuan. Saya mahu ubah hidup saya. Ada kerja, ada teman wanita," kata Richard Rojas, 26, seperti yang diberitahu kepada New York Post dalam satu temuramah di penjara, dua hari selepas kejadian.
Pada Khamis, Rojas memandu kereta Honda miliknya dan merempuh kawasan Seventh Avenue yang dipenuhi pejalan kaki. Dia ditangkap selepas cuma melarikan diri dengan keluar dari keretanya.
Rojas memberitahu dia tidak mengingati insiden rempuhan itu.
"Saya beli sandwich untuk dimakan bersama ibu saya, dan kemudian saya mahu tenangkan fikiran.
"Perkara terakhir yang saya ingat ialah memandu. Apabila saya sedar kembali saya sudah berada di balai polis. Ia menakutkan," kata Rojas.
Rekod menunjukkan Rojas mempunyai banyak rekod jenayah, dan pernah empat kali ditahan. Antara kesalahannya ialah dua kesalahan memandu dalam keadaan mabuk, dan paling terbaharu minggu, mengugut seorang lelaki menggunakan pisau di luar apartmen miliknya di Bronx.
Ketika masih berkhidmat dengan tentera laut, Rojas pernah dipenjara selama dua bulan, namun tidak diketahui atas sebab apa.
Rakan Rojas yang ditemuramah Reuters memberitahu lelaki itu mempunyai masalah minum berlebihan, selain masalah peribadi yang lain selepas menamatkan perkhidmatan dengan tentera laut, namun tidak cuba untuk meminta bantuan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami