Skip to main content

Malaysia

Dam Harimau ke pentas Asia, promo 'Negeri Sembilan Memilih' raih emas di GEMA Asia Awards 2026

Berinspirasikan permainan tradisional Dam Harimau, promo berkenaan menggabungkan identiti budaya Negeri Sembilan, simbolik percaturan dan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam sebuah penceritaan visual sinematik yang sarat dengan makna. - Gambar Astro AWANI
Berinspirasikan permainan tradisional Dam Harimau, promo berkenaan menggabungkan identiti budaya Negeri Sembilan, simbolik percaturan dan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam sebuah penceritaan visual sinematik yang sarat dengan makna. - Gambar Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Percaturan kreatif berinspirasikan warisan budaya Negeri Sembilan berjaya mengangkat nama Astro AWANI di pentas antarabangsa apabila promo 'Negeri Sembilan Memilih' merangkul Anugerah Emas (Gold) bagi kategori Best Use of AI in Video Promotion pada GEMA Asia Awards 2026.

Kemenangan tersebut diumumkan menerusi majlis anugerah secara maya yang disiarkan melalui Facebook dan LinkedIn penganjur.

Berinspirasikan permainan tradisional Dam Harimau, promo berkenaan menggabungkan identiti budaya Negeri Sembilan, simbolik percaturan dan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam sebuah penceritaan visual sinematik yang sarat dengan makna.

Advertisement

Ketua pasukan Reka Bentuk Astro AWANI, Abdul Hasib Jahidin, menyifatkan kemenangan ini sebagai pengiktirafan bermakna terhadap usaha pasukan meneroka teknologi AI, sambil berpandangan bahawa kreativiti manusia tetap menjadi teras utama penceritaan.

Dihasilkan menerusi kolaborasi kreatif bersama Shariff Mukhlis Rahmatullah, karya ini berjaya disiapkan dalam tempoh lebih singkat berbanding kaedah produksi konvensional, tanpa menjejaskan kualiti visual dan kekuatan naratif.

Advertisement
Image
FB thegemaasia

Sementara itu, sebuah lagi karya Astro AWANI, lagu tema 'Sabah Memilih – Semboyan Berlagu', turut menerima pengiktirafan sebagai finalis kategori Best Use of AI in Audio, Voice or Sound.

Lagu tersebut sebelum ini berjaya memenangi kategori Best AI Application (Audio) pada Asian Television Awards ke-31 yang berlangsung di Ho Chi Minh City, Vietnam, pada 13 November lalu.

Kemenangan ini memperkukuh kedudukan Astro AWANI sebagai organisasi berita yang terus meneroka inovasi dalam penghasilan kandungan kreatif.

Pencapaian tersebut turut membuktikan potensi bakat tempatan menghasilkan karya bertaraf antarabangsa, sekali gus membuka perspektif baharu terhadap penggunaan AI dalam industri penyiaran dan kreatif Malaysia.

GEMA Asia Awards 2026 turut menampilkan karya daripada organisasi penyiaran dan hiburan antarabangsa, termasuk CGTN, Mediacorp, Sony Pictures Networks dan Warner Bros. Discovery.

Dianjurkan oleh Global Entertainment Marketing Academy of Arts & Sciences (GEMA), yang mempunyai legasi sejak 1956 menerusi organisasi terdahulunya, edisi tahun ini bertepatan dengan sambutan 70 tahun sejarah organisasi tersebut.

Anugerah ini mengiktiraf kecemerlangan kreativiti, inovasi dan pemasaran kandungan televisyen serta penstriman di rantau Asia.

Must Watch Video

Advertisement