INTERNATIONAL
Lembah gunung Swiss berdepan gelombang banjir susulan runtuhan glasier

Lembah Lotschental, di mana Blatten terletak, kini menghadapi ancaman gelombang banjir selepas serpihan yang turun membentuk empangan di sungai kecil Lonza. - AP
GENEVA: Wilayah Alpine di Switzerland berisiko dilanda gelombang banjir selepas glasier di atas kampung Blatten runtuh sehari sebelumnya, menurut pihak berkuasa tempatan pada Khamis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Kebanyakan penempatan penduduk yang dipindahkan di bahagian barat daya Switzerland, kini tertimbus oleh jumlah besar serpihan yang turun bersama glasier pada Rabu.
Namun, Lembah Lotschental, di mana Blatten terletak, kini menghadapi ancaman gelombang banjir selepas serpihan yang turun membentuk empangan di sungai kecil Lonza.
Beberapa rumah di Blatten yang tidak tertimbus akibat runtuhan glasier sudahpun dinaiki air, menurut pihak berkuasa.Ahli geologi Flavio Anselmetti dari Universiti Bern berkata bongkah batu dan ais berkumpul membentuk empangan yang sangat tinggi di Lonza, dengan sungai melimpah di belakang halangan itu.
"Senario paling buruk ialah apabila air yang terkumpul di sebalik empangan semula jadi itu mencecah paras tertinggi, lalu menghakis struktur runtuhan tersebut. Ini boleh menyebabkan empangan itu pecah dan mencetuskan gelombang banjir besar ke kawasan lembah," kata Anselmetti kepada stesen radio Swiss SRF. Sungai itu kemudian boleh mengikis campuran batu dan ais itu, katanya.
"Pengikisan ini boleh menggugat kestabilan empangan, menyebabkan sebahagian daripadanya terhakis dan runtuh, yang boleh mencetuskan gelombang banjir atau aliran serpihan yang sangat kuat dari tasik itu, mengancam komuniti di lembah di bahagian bawah."
Memandangkan risiko itu, pihak berkuasa mengarahkan pemindahan penduduk di penempatan Wiler dan Kippel, yang terletak berhampiran sungai, selepas 300 penduduk Blatten diarahkan berpindah dengan segera minggu lalu. Seorang lelaki berumur 64 tahun yang kekal di kawasan itu walaupun arahan dikeluarkan, masih hilang.
Punca kejadian di wilayah Valais di selatan Switzerland disebabkan pergerakan tanah yang melongsor perlahan dari puncak Kleines Nesthorn, di atas glasier Birch yang kini runtuh.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami