ISTANBUL: Letupan dilaporkan berlaku berhampiran Pulau Qeshm, Iran dan bandar pelabuhan Bandar Abbas di selatan negara itu awal Ahad ketika Amerika Syarikat (AS) melancarkan satu lagi siri serangan ketenteraan terhadap Iran, lapor Anadolu Ajansi.
Agensi berita rasmi IRNA melaporkan, penduduk di beberapa kawasan di Bandar Abbas dan Qeshm terdengar bunyi letupan sejurus sebelum 4 pagi waktu tempatan.
Punca serta lokasi sebenar letupan itu masih dalam siasatan.
Agensi berita Mehr kemudian melaporkan, sebuah lokasi berhampiran Qeshm diserang kira-kira 3.40 pagi waktu tempatan dan menyifatkan kejadian itu sebagai serangan tentera AS.
Menurut agensi itu, tiada kematian atau kecederaan dalam kalangan orang awam mahupun kerosakan terhadap infrastruktur kediaman dan komersial dilaporkan.
Washington mengumumkan, AS melancarkan satu lagi gelombang serangan udara terhadap Iran pada Sabtu atas arahan pemerintah tertinggi, menurut Komando Pusat AS (CENTCOM) menerusi hantaran di platform media sosial X.
“Pada 6 petang waktu Timur hari ini, tentera AS mula melancarkan serangan udara baharu terhadap Iran atas arahan pemerintah tertinggi.
“Serangan itu bertujuan terus melemahkan keupayaan Iran untuk mengancam kapal dagang di Selat Hormuz serta mengambil tindakan segera terhadap pasukan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) yang menyerang anggota tentera AS di Jordan malam tadi,” menurut CENTCOM.
CENTCOM pada Sabtu memaklumkan, anggota tentera AS terbunuh dan seorang lagi masih hilang susulan serangan peluru berpandu balistik serta dron Iran di Jordan pada Jumaat.
-- BERNAMA-ANADOLU