VADUZ: Liechtenstein mengumumkan perubahan kepada peraturan pewarisan takhta yang membolehkan wanita menaiki takhta negara itu buat pertama kali dalam sejarahnya.
Pengumuman itu dibuat sempena sambutan Hari Kebangsaan negara kecil Eropah Tengah yang mempunyai kira-kira 44,000 penduduk.
Menurut kenyataan Istana Liechtenstein, sistem pewarisan takhta akan diubah daripada keutamaan waris lelaki kepada sistem pewarisan mutlak, yang memberi hak kepada anak sulung tanpa mengira jantina.
“Ini bermakna pada masa depan, anak sulung, sama ada lelaki atau perempuan, akan menjadi pewaris takhta dan seterusnya memegang gelaran putera atau puteri Liechtenstein,” menurut kenyataan itu.
Perubahan berkenaan tidak akan menjejaskan susunan pewarisan semasa kerana pewaris takhta ketika ini, Putera Mahkota Alois, merupakan anak sulung kepada pemerintah Liechtenstein, Putera Hans-Adam II.
Alois, yang telah menjalankan sebahagian besar tugas rasmi diraja sejak dua dekad lalu, berkata pindaan tersebut bertujuan memastikan individu yang paling bersedia memikul tanggungjawab berkenaan dapat menerajui negara dan institusi diraja.
Bagaimanapun, peraturan baharu itu hanya akan terpakai kepada keturunan empat anak Putera Mahkota Alois dan isterinya, Puteri Mahkota Sophie.
Liechtenstein, yang terletak di antara Switzerland dan Austria, merupakan sebuah negara kecil yang pemerintahnya masih mempunyai kuasa politik yang luas berbanding kebanyakan monarki lain di Eropah.