MOSCOW: Ribut salji yang melanda secara mengejut menjadi halangan terakhir yang tidak mampu digagahi oleh lima pendaki di puncak tertinggi di benua Eropah, Gunung Elbrus, yang terletak di barat daya Rusia.

Mereka disahkan terkorban, sementara 14 ahli pasukan lain dalam pendakian itu berjaya diselamatkan di puncak Caucasus dalam tiupan angin kencang, tahap penglihatan rendah serta suhu 20 Celsius di bawah paras beku, lapor Reuters.

Daripada jumlah yang terselamat, 11 pendaki dikejarkan ke hospital kerana mengalami komplikasi kesihatan.

Kumpulan pendaki Rusia itu membuat panggilan kecemasan untuk meminta pertolongan selepas jam 5 petang pada Khamis.

Seorang wanita jatuh sakit dan meninggal dunia dalam dakapam salah seorang jurupandu pendakian, Denis Alimov, yang menganjurkan aktiviti itu, lapor agensi berita TASS.

Seorang lagi pendaki patah kaki ketika dia menuruni gunung, sebelum kumpulan berkenaan mengambil keputuan untuk berpecah kepada tiga kumpulan, bergantung kepada siapa yang boleh bergerak lebih pantas.

"Ketika turun, dua lagi pendaki meninggal dunia dalam salah satu kumpulan itu. Namun, keputusan untuk berpecah itu betul kerana ia dapat mengelakkan daripada lebih banyak korban nyawa,” ujar Alimov.

Peserta pendakian termasuk jurupandu juga menderita akibat gigitan fros.

Gunung Elbrus, yang mempunyai ketinggian 5,642 meter di sempadan utara Georgia, dikenali dengan risiko cuaca ekstrem yang boleh berubah secara mendadak, sekali gus menyukarkan laluan pendakian.