Skip to main content

Malaysia

Agong, Permaisuri berkenan berangkat ke Rumah Terbuka Istana Johor

JOHOR BAHRU, 22 Mac -- Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah (tengah) berkenan bersalaman dan beramah mesra dengan rakyat yang hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Istana Johor di Istana Besar Johor hari ini.  –fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah (tengah) berkenan bersalaman dan beramah mesra dengan rakyat yang hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Istana Johor di Istana Besar Johor hari ini. - Foto Bernama

JOHOR BAHRU: Lebih 20,000 rakyat pelbagai kaum membanjiri Majlis Rumah Terbuka Istana Johor di Istana Besar, di sini hari ini.

Seawal 6.30 pagi, orang ramai telah mula beratur di hadapan pintu pagar istana, hadir bersama keluarga masing-masing bagi merasai sendiri pengalaman beraya di istana yang menyediakan lebih 17 gerai pelbagai juadah tradisional dan moden.

Image
YANG DI-PERTUAN AGONG BERKENAN BERANGKAT KE MAJLIS RUMAH TERBUKA AIDILFITRI ISTANA JOHOR KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Majlis Rumah Terbuka  Aidilfitri Istana Johor di Padang Kawat, Istana Besar Johor, hari ini (22 Mac).
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Majlis Rumah Terbuka Istana Johor di Istana Besar hari ini. - FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Advertisement

Antara hidangan yang menjadi tumpuan termasuk ketupat, lemang, rendang, KFC, selain kuih-muih serta banyak lagi.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke majlis rumah terbuka berkenaan.

Keberangkatan Sultan Ibrahim ditemani Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah bersama Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dan isteri, Che’ Puan Mahkota Khaleeda Bustamam serta putera-puteri baginda.

Hadir sama Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi dan isteri, Datin Sharmin Fazlina Mohd Shukor.

Selepas selesai majlis santapan, Raja Zarith Sofiah berkenan bersalaman dengan pengunjung yang hadir, disertai Tunku Mahkota Ismail dan Che’ Puan Mahkota Khaleeda.

Image
JOHOR BAHRU, 22 Mac -- Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail (tengah) berkenan bersalaman dan beramah mesra dengan rakyat yang hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Istana Johor di Istana Besar Johor hari ini.  -–fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail (tengah) berkenan bersalaman dan beramah mesra dengan rakyat yang hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Istana Johor di Istana Besar Johor hari ini. - Foto Bernama

Rata-rata pengunjung yang ditemui Bernama menzahirkan rasa gembira apabila berpeluang berjumpa kaum kerabat diraja.

Bagi penjawat awam, Zairi Karim, 42, berkata meskipun sudah tahun kelima berkunjung ke rumah terbuka istana, beliau sekeluarga tetap akan hadir walaupun terpaksa beratur lama.

“Saya tetap akan datang sebab nak jumpa kaum kerabat diraja kita yang disayangi. Saya orang Johor, saya sayang sultan saya. Saya beratur seawal 8.30 pagi, sejam kemudian baru dapat masuk,” kata bapa kepada empat anak itu.

Pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dari Nigeria, Adamu Chiroma yang mengenakan pakaian baju Melayu lengkap, berasa gembira dapat meraikan Aidilfitri di negara orang.

“Bila kita berada di negara orang, kita perlu menyesuaikan diri dan cuba menjadi sebahagian daripada mereka, sebab itu saya pakai baju Melayu dan berasa sangat gembira. Hari ini, makanan yang disediakan sangat sedap dan rakyat Malaysia sangat peramah,”  katanya.

--BERNAMA

Must Watch Video