Letupan ammonium nitrate yang dianggarkan seberat 2,750 tan telah menggegarkan kota Beirut awal pagi Rabu, mengakibatkan 70 kematian dan lebih 4,000 cedera.

Menurut Gabenor Beirut, Marwan Abboud, letupan itu telah menyebabkan kemusnahan kepada hampir separuh bangunan di bandar berkenaan dan hospital sesak dengan pesakit yang cedera.

Perdana Menteri Lebanon Hassan Diab dilaporkan sebagai berkata, ammonium nitrat yang meletup itu, disimpan di sebuah depoh tanpa pengawasan rapi selama lebih enam tahun.

Berikut merupakan lima kejadian letupan ammonium nitrat yang tercatat dalam sejarah dunia.

1. Letupan gudang barang di Tianjin, China (2015)

Dua letupan besar terjadi di gudang yang terletak di bandar pelabuhan Tianjin, dan disusuli kebakaran besar pada Ogos, 2015.

Kejadian itu mengakibatkan 110 anggota kecemasan, 55 penghuni dan pekerja telah terkorban. Selain itu 790 orang awam dilaporkan tercedera, manakala lapan mayat gagal ditemui sehingga ke hari ini.

Menurut pihak berkuasa, letupan itu berpunca daripada bahan mudah terbakar seperti ammonium nitrate dan sodium cyanide.

2. Tragedi Ryongchon, Korea Utara (2004)

Beberapa kenderaan yang membawa baja nitrogen mengandungi ammonium nitrate, serta gerabak keretapi yang membawa cecair bahan api telah meletup di stesen keretapi Ryongchon pada penghujung April, 2004.

Sekurang-kurangnya 162 orang terkorban, dan lebih 3,000 tercedera akibat tragedi itu. Letupan itu turut memusnahkan kediaman sekeliling menyebabkan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal.

Media membuat spekulasi bahawa letupan itu merupakan perancangan untuk membunuh pemimpin Korea Utara ketika itu iaitu Kim Jong-il, yang mana keretapi yang beliau naiki sepatutnya melalui stesen itu ketika kejadian berlaku

3. Tragedi Bandar Texas (1947)

Tragedi industri paling buruk dalam sejarah Amerika Syarikat berlaku di Teluk Galveston, yang terletak di Pelabuhan Bandar Texas pada April, 1947. Ia dikatakan bermula apabila seorang individu terbuang puntung rokok yang masih menyala di atas kapal SS Grandcamp, yang sedang mengangkut 2.3 tan ammonium nitrate.

Letupan pertama mengakibatkan beberapa siri letupan susulan di atas kapal lain yang sedang berlabuh, dan merebak ke sebuah loji pemprosesan minyak berhampiran. Tragedi itu mengakibatkan 581 orang terkorban, dan sekitar 3,500 lagi tercedera.

Letupan itu juga dilaporkan terkena kepada dua kapal terbang yang sedang melintasi ruang udara kawasan berkenaan.

4. Letupan Oppau di Jerman (1921)

Pada 21 September 1921, sebuah menara silo yang menyimpan 450 tan ammonium sulfate dan baja ammonium nitrate telah meletup, mengakibatkan 500 hingga 600 orang terkorban, dan sekitar 2,000 lagi tercedera.

Letupan itu dapat dirasai berbatu-batu jauh, sehingga mencecah bandar Frankfurt.

5. Letupan Great Kent (1916)

Pada 2 April, 1916, sebuah kilang yang menyimpan 25 tan bahan letupan TNT, dan 700 tan ammonium nitrate di Faversham, United Kingdom, telah terbakar dan meletup.

Tragedi itu telah mengorbankan 115 pekerja, yang kesemuanya adalah lelaki dan kanak-kanak lelaki. Tujuh mayat gagal dikesan.

Kesan letupan itu dapat dirasai sehingga ke Norwich, yang terletak 244 kilometer jauhnya dari tempat kejadian.