Skip to main content

Malaysia

Malaysia perkenal keunikan warisan budaya sempena Hari Terbuka di Namibia

Jasri menekankan hubungan yang semakin erat antara Malaysia dan Namibia sejak hubungan diplomatik diwujudkan pada 1990. - Gambar Facebook Ministry of International Relations and Cooperation-Namibia
Jasri menekankan hubungan yang semakin erat antara Malaysia dan Namibia sejak hubungan diplomatik diwujudkan pada 1990. - Gambar Facebook Ministry of International Relations and Cooperation-Namibia

Advertisement

KUALA LUMPUR: Daripada tarian tradisional dan hidangan autentik Malaysia hinggalah pameran kebudayaan serta filem animasi, Malaysia memperkenalkan keunikan warisan budayanya kepada masyarakat Namibia menerusi Hari Terbuka Malaysia 2026.

Dianjurkan oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Windhoek pada 22 Okt, acara itu menarik kira-kira 200 tetamu sebagai sebahagian daripada usaha mengetengahkan kepelbagaian budaya, gastronomi dan seni kreatif Malaysia, selain memperkukuh hubungan antara rakyat kedua-dua negara.

Dalam ucapan alu-aluannya, Kuasa Usaha Malaysia di Windhoek Khornelisman Jasri menekankan hubungan yang semakin erat antara Malaysia dan Namibia sejak hubungan diplomatik diwujudkan pada 1990, khususnya dalam bidang politik, ekonomi, pendidikan dan pertukaran antara rakyat.

"Persahabatan antara kedua-dua negara bukan sahaja melibatkan kerajaan dan institusi, malah turut terjalin menerusi perkongsian ilmu dan pengalaman serta hubungan peribadi yang berkekalan," katanya menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Windhoek.

Diadakan di Windhoek International School di bawah Program Sinergi Malaysia (PSRM), acara itu turut dihadiri Pengarah Eksekutif Kementerian Hubungan Antarabangsa dan Perdagangan Namibia, Duta Besar Jerobeam Shaanika, yang menyampaikan ucapan bagi pihak Menteri Selma Ashipala-Musavyi.

Turut hadir ialah anggota kor diplomatik, alumni Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) serta rakyat Malaysia yang menetap di Namibia dan negara jiran, Angola.

Para tetamu disajikan dengan persembahan tarian tradisional Malaysia, pameran kebudayaan dan sesi merasa pelbagai hidangan Malaysia, manakala permainan tradisional membuka ruang untuk interaksi dan pertukaran budaya.

Tayangan filem animasi Malaysia, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal, turut memperkenalkan cerita rakyat, muzik tradisional dan nilai perpaduan Malaysia kepada penonton, khususnya golongan muda.

Kuiz bertemakan Malaysia dan cabutan bertuah turut memeriahkan acara berkenaan.

Acara itu juga menyediakan peluang untuk mengeratkan hubungan dalam kalangan rakyat Malaysia yang menetap di luar negara serta menggalakkan penglibatan mereka dalam mempromosikan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia berharap inisiatif seumpama itu dapat meningkatkan kesedaran masyarakat Namibia mengenai Malaysia, menarik lebih ramai pelawat ke negara ini serta membuka peluang kerjasama yang lebih erat dalam bidang kebudayaan, pendidikan, pelancongan dan perdagangan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement