Skip to main content

Politik

PRN Melaka: PN umum lima daripada enam calon, seorang lagi menyusul

Ahmad Samsuri berkata, gabungan itu masih mempunyai masa untuk mengumumkan calon terakhir menjelang hari penamaan calon pada Sabtu ini. - Gambar Astro AWANI
Ahmad Samsuri berkata, gabungan itu masih mempunyai masa untuk mengumumkan calon terakhir menjelang hari penamaan calon pada Sabtu ini. - Gambar Astro AWANI

Advertisement

MELAKA: Perikatan Nasional (PN) hanya mengumumkan lima daripada enam calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, manakala seorang lagi akan diumumkan kemudian.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, gabungan itu masih mempunyai masa untuk mengumumkan calon terakhir menjelang hari penamaan calon pada Sabtu ini.

"Perikatan Nasional akan bertanding di enam kerusi Dewan Undangan Negeri. Malam ini saya akan mengisytiharkan lima calon.

"Seorang lagi itu, kita ada masa lagi, kita akan isytihar kemudian," katanya ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Calon PN di sini, hari ini.

Lima calon yang diumumkan ialah Rafie Ahmad bagi DUN Paya Rumput, Michael Gan Pen Lam di Ayer Keroh dan Mohd Ridzuan Mohd Shariff di Bukit Katil.

Turut bertanding dua lagi calon ialah Albert Kok bagi DUN Kesidang dan Dr Mohd Yadzil Yaakub yang juga merupakan penyandang di DUN Bemban.

Pengumuman bertemakan slogan 'Muafakat Melaka' itu menyusul kerjasama politik antara PN dan Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya negeri berkenaan.

Sebelum ini, BN mengumumkan hanya akan bertanding di 21 daripada keseluruhan 28 kerusi DUN Melaka, sekali gus memberi laluan kepada PN di tujuh kawasan.

Bagaimanapun, perkembangan terbaharu menyaksikan BN kini mempertaruhkan calon di 22 kerusi selepas MCA diberikan DUN Bandar Hilir, dengan Jasmine Lok Huey Yee diumumkan sebagai calonnya.

Susulan itu, PN akan bertanding di enam kerusi, dengan DUN Kota Laksamana menjadi satu-satunya kawasan yang masih belum diumumkan calonnya.

Hari penamaan calon ditetapkan pada 31 Oktober, manakala hari pengundian berlangsung pada 14 November ini.

Must Watch Video

Advertisement