Skip to main content

Politik

PRN Melaka: PH gerun penyatuan BN-PN – Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim berkata, kerjasama kedua-dua gabungan itu diyakini mampu memberi saingan kepada PH pada pilihan raya berkenaan. - Gambar Astro AWANI
Tuan Ibrahim berkata, kerjasama kedua-dua gabungan itu diyakini mampu memberi saingan kepada PH pada pilihan raya berkenaan. - Gambar Astro AWANI

Advertisement

MELAKA: Pakatan Harapan (PH) didakwa bimbang dengan penyatuan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerjasama kedua-dua gabungan itu diyakini mampu memberi saingan kepada PH pada pilihan raya berkenaan.

"Kerana gelombang penyatuan ini akan menyapu bersih kemenangan dalam PRN ke-16 nanti, insya-Allah," katanya ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Calon PN bagi PRN Melaka di sini, hari ini.

Menurutnya, maklum balas di peringkat akar umbi menunjukkan masyarakat mengharapkan kerjasama politik berkenaan terus diperkukuh.

Beliau turut menyifatkan, kerjasama BN-PN sebagai sebahagian daripada usaha membina penyatuan politik yang lebih besar di peringkat nasional.

Pada Rabu, BN dan PN memeterai perjanjian persefahaman politik bagi menghadapi PRN Melaka yang dijadualkan pada 14 November ini.

Perjanjian itu ditandatangani Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mewakili BN dan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mewakili PN.

Majlis menandatangani perjanjian di Menara Dato' Onn itu disaksikan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menerusi persefahaman berkenaan, BN akan bertanding di 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala tujuh kerusi lagi diperuntukkan kepada PN.

Kedua-dua gabungan turut bersetuju melancarkan manifesto pilihan raya bersama bagi menghadapi PRN Melaka ke-16.

Must Watch Video

Advertisement