BEIRUT: Presiden Lubnan, Joseph Aoun, pada Jumaat berkata, negaranya kini melangkah ke satu “fasa baharu” dengan tumpuan kepada pembentukan perjanjian kekal, susulan gencatan senjata selama 10 hari antara Israel dan Hezbollah yang mula berkuat kuasa.
Dalam ucapan kepada rakyat Lubnan sehari selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan gencatan senjata itu, Aoun memberi bayangan jelas terhadap kumpulan yang disokong Iran, Hezbollah, dengan menegaskan Lubnan tidak lagi menjadi “medan peperangan untuk sesiapa.”
Advertisement
Lubnan terheret dalam konflik Asia Barat pada 2 Mac lalu selepas Hezbollah yang disokong Tehran melancarkan serangan terhadap Israel bagi membalas kematian pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei.
Israel bertindak balas dengan melancarkan siri serangan udara dan operasi darat ke atas Lubnan, mengorbankan hampir 2,300 nyawa serta memaksa lebih sejuta penduduk meninggalkan kediaman masing-masing.
“Kini kita semua berada di ambang satu fasa baharu,” kata Aoun dalam ucapan sulung kepada negara sejak gencatan senjata itu dilaksanakan.
“Ia merupakan fasa peralihan daripada usaha mencapai gencatan senjata kepada usaha membentuk perjanjian kekal yang memelihara hak rakyat, perpaduan wilayah dan kedaulatan negara,” katanya.
Aoun berkata, kerajaan Lubnan kini telah “mengambil semula negara dan kuasa membuat keputusan” buat pertama kali dalam hampir setengah abad.
“Hari ini, kita berunding bagi pihak diri kita sendiri… kita tidak boleh diperalatkan oleh sesiapa atau menjadi medan perang untuk pihak lain dan kita tidak akan kembali ke keadaan itu,” tegasnya.
Sejak Aoun dan Perdana Menteri Nawaf Salam mengangkat sumpah tahun lalu, Beirut telah mengambil beberapa keputusan yang belum pernah berlaku terhadap Hezbollah, termasuk komitmen untuk melucutkan senjata kumpulan itu pada Ogos lalu susulan gencatan senjata November 2024 yang bertujuan menamatkan konflik terdahulu dengan Israel.
Kerajaan Lubnan juga mengharamkan aktiviti ketenteraan kumpulan itu selepas tercetusnya perang terbaharu bulan lalu.
Hezbollah kekal sebagai satu-satunya kumpulan yang mengekalkan senjata selepas perang saudara Lubnan 1975–1990 atas alasan “penentangan” terhadap Israel, meskipun Israel berundur sepenuhnya dari Lubnan pada tahun 2000.
Dalam negara yang lama bergelut dengan perpecahan politik dan sektarian, pemilikan senjata oleh kumpulan Syiah itu sering mencetuskan krisis dalaman.
“Tiada kompromi”
Dalam ucapannya, Aoun merakamkan penghargaan kepada “semua pihak yang menyumbang kepada pencapaian gencatan senjata”, termasuk Arab Saudi dan Trump, yang mengumumkan perjanjian itu pada Khamis.
Trump kemudiannya memaklumkan, beliau menjangkakan Aoun serta Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, akan mengunjungi White House dalam tempoh “empat atau lima hari akan datang.”
Gencatan senjata itu dicapai beberapa hari selepas duta Lubnan dan Israel ke Amerika Syarikat mengadakan pertemuan di Washington — pertemuan langsung pertama antara kedua-dua negara dalam tempoh beberapa dekad, memandangkan mereka secara teknikal berada dalam keadaan perang sejak 1948.
Isu rundingan dengan Israel kekal sensitif di Lubnan, dengan sebahagian pihak melihatnya sebagai jalan menamatkan konflik yang berulang, manakala pihak lain termasuk Hezbollah dan penyokongnya menolak sebarang bentuk rundingan.
Bagaimanapun, Aoun menegaskan, rundingan langsung dengan Israel bukan tanda kelemahan atau pengorbanan prinsip.
“Rundingan tidak bermaksud dan tidak akan bermaksud, melepaskan sebarang hak, mengorbankan prinsip atau menjejaskan kedaulatan negara ini,” katanya.
Pada 17 Mei 1983, Lubnan dan Israel pernah menandatangani perjanjian pengunduran tentera Israel selepas lebih empat bulan rundingan langsung dengan penglibatan Amerika Syarikat, namun perjanjian itu dibatalkan pada Mac 1984 susulan tekanan Syria dan sekutunya di Lubnan.
Selepas perang 2024, wakil awam Lubnan dan Israel bertemu dalam kerangka jawatankuasa pemantauan gencatan senjata, selain kedua-dua negara memeterai perjanjian penentuan sempadan maritim pada 2022 menerusi pengantaraan Washington tanpa komunikasi langsung.
“Saya menegaskan bahawa tidak akan ada sebarang perjanjian yang menjejaskan hak kedaulatan negara,” kata Aoun.
“Matlamat kami jelas - menghentikan pencerobohan Israel ke atas tanah dan rakyat kami, memastikan pengunduran Israel, memperluaskan kuasa kerajaan ke seluruh wilayah negara melalui pasukan sendiri sepenuhnya, serta menjamin kepulangan tahanan dan rakyat kami ke rumah serta kampung halaman mereka.” - Agensi