KOTA BHARU: Kewujudan rangkaian keluarga dan saudara-mara yang telah menetap di Malaysia dikenal pasti menjadi faktor utama yang menarik kemasukan pendatang tanpa izin, termasuk etnik Rohingya, serta warga Bangladesh dan Myanmar, melalui sempadan Malaysia-Thailand.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata golongan berkenaan menjadikan Malaysia sebagai destinasi akhir kerana mereka mempunyai tempat bergantung untuk memulakan kehidupan sebaik tiba.
Beliau berkata faktor berkenaan menjadi tarikan utama, khususnya bagi etnik Rohingya yang sanggup meredah pelbagai laluan bagi memasuki negara ini secara haram.
โBagi etnik Rohingya khususnya, faktor keluarga ini memainkan peranan besar dalam keputusan mereka untuk memasuki Malaysia,โ katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Mohd Yusoff berkata isu kemasukan pendatang tanpa izin melalui sempadan Malaysia-Thailand adalah cabaran yang dihadapi pihak berkuasa hampir setiap hari.
Sehubungan dengan itu, beliau telah mengarahkan semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kelantan supaya mempergiat operasi membanteras pendatang tanpa izin dan tidak hanya bergantung kepada Pasukan Gerakan Am (PGA) semata-mata.
Beliau berkata berdasarkan pemerhatian pihak polis, kebanyakan pendatang berkenaan menggunakan Thailand sebagai negara transit sebelum meneruskan perjalanan ke Malaysia.
Mengulas mengenai kewujudan komuniti Rohingya di Kelantan, Mohd Yusoff berkata pihak polis mengesan terdapat penempatan etnik itu di beberapa lokasi termasuk di daerah Tanah Merah.
Bagaimanapun, keadaan di kawasan penempatan berkenaan masih terkawal dan berada di bawah pemantauan berterusan pihak berkuasa.
Mohd Yusoff berkata walaupun urusan berkaitan pendatang lazimnya berada di bawah bidang kuasa Jabatan Imigresen Malaysia, polis tetap memainkan peranan dalam aspek kawalan keselamatan dan pemantauan terhadap komuniti warga asing di negeri itu.
โPemantauan ini penting bagi memastikan sebarang unsur jenayah atau masalah sosial dapat dicegah dan tidak menjejaskan keselamatan serta ketenteraman awam,โ katanya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pelarian Rohingya di negara ini supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta peraturan tempatan atau berdepan tindakan tegas.
Beliau dilapor berkata walaupun Malaysia mengambil pendekatan berperikemanusiaan, golongan itu tetap tertakluk kepada sistem perundangan negara termasuk dalam aspek penggunaan premis bangunan dan pengendalian perniagaan.
-- BERNAMA