Skip to main content

Dunia

Lula lancar kempen penggal keempat, tekankan kedaulatan Brazil

Brazilian President Luiz Inacio Lula da Silva attends a Workers' Party (PT) convention along with Brazil's Vice President and candidate Geraldo Alckmin, during Lula's nomination as a candidate to run for his fourth term in October's presidential election, in Sao Paulo, Brazil, August 2, 2026. REUTERS/Alexandre Meneghini
Lula da Silva menghadiri konvensyen Parti Pekerja (PT) bersama Naib Presiden Brazil yang juga calon gandingannya, Geraldo Alckmin, semasa pencalonannya untuk bertanding bagi penggal keempat dalam pilihan raya presiden yang akan berlangsung pada Oktober, di Sao Paulo, Brazil. - Foto REUTERS
Advertisement

SAO PAULO: Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, secara rasmi melancarkan kempen untuk mempertahankan jawatannya bagi penggal keempat dengan menampilkan isu kedaulatan negara sebagai tema utama menjelang pilihan raya presiden yang dijadualkan berlangsung pada Oktober.

Pada konvensyen Parti Pekerja (Workers’ Party) di Sao Paulo pada Ahad, ribuan penyokong memenuhi dewan sambil mengibarkan bendera merah dan melaungkan nama Lula ketika pemimpin berusia 80 tahun itu mengumumkan pencalonannya untuk bertanding jawatan presiden buat kali ketujuh.

Lula, yang kembali menerajui negara itu pada 2023 selepas pernah berkhidmat selama dua penggal dari 2003 hingga 2010, berkata sekiranya berjaya memenangi pilihan raya akan datang, ia merupakan penggal terakhir beliau sebagai presiden.

Dalam ucapannya, Lula memberi tumpuan kepada kedudukan Brazil dalam persekitaran global yang semakin tidak menentu berbanding pencapaian domestik pentadbirannya.

Beliau menggesa peningkatan perbelanjaan pertahanan dan berjanji melindungi simpanan unsur nadir bumi serta mineral strategik Brazil daripada penguasaan pihak asing.

“Saya mahu bersedia supaya tiada siapa boleh menceroboh negara ini,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa China, Amerika Syarikat (AS) dan Perancis tidak akan diberikan akses kepada kekayaan mineral Brazil tanpa menghormati kedaulatan negara tersebut.


Hubungan dengan AS jadi perhatian

Pendekatan Lula itu dilihat mencerminkan ketegangan yang semakin meningkat antara Brasilia dan Washington.

AS dilaporkan mengenakan dua pusingan tarif terhadap barangan Brazil pada Julai lalu atas dakwaan amalan perdagangan yang tidak adil, tuduhan yang ditolak kerajaan Brazil.

Pada masa sama, bekas Presiden AS Donald Trump dilihat mempunyai hubungan rapat dengan keluarga pencabar utama Lula, Senator Flavio Bolsonaro, anak sulung bekas Presiden Jair Bolsonaro.

“Di Brazil, kami tidak menerima sesiapa yang mencampuri urusan yang bukan bidang mereka,” kata Lula dalam ucapan tersebut.

Flavio Bolsonaro, 45, muncul sebagai calon utama blok konservatif selepas bapanya disabitkan kesalahan kerana didakwa merancang untuk membatalkan keputusan pilihan raya 2022 dan menghalang Lula daripada kembali memegang jawatan presiden.

Lula cuba menggambarkan hubungan keluarga Bolsonaro dengan Trump sebagai isu utama kempen, dengan menyifatkan pilihan raya akan datang sebagai pertarungan antara kemerdekaan nasional dan kepentingan asing.

Beliau turut melabelkan Flavio sebagai “pengkhianat negara”, dakwaan yang dinafikan senator itu.

Penganalisis politik dari Yayasan Getulio Vargas, Leonardo Paz, berkata tema kedaulatan muncul pada waktu yang sesuai bagi membantu Lula mengukuhkan sokongan.

Menurutnya, naratif tersebut membolehkan presiden mengenal pasti ancaman luar dan mengaitkannya dengan sebahagian cabaran yang dihadapi negara.


Persaingan dijangka sengit

Tinjauan terbaru Datafolha menunjukkan Lula mendahului Flavio Bolsonaro dalam kemungkinan pusingan kedua pilihan raya dengan sokongan 48 peratus berbanding 43 peratus.

Bagaimanapun, jurangnya masih tipis dalam negara yang terus berdepan perpecahan politik antara penyokong Lula dan gerakan Bolsonaro.

Dari segi pencapaian pentadbiran, Lula boleh menampilkan pertumbuhan ekonomi, kadar pekerjaan yang tinggi dan pelaksanaan program sosial yang menurut penyokongnya membantu meningkatkan taraf hidup golongan berpendapatan rendah.

Namun, kerajaan masih berdepan cabaran akibat peningkatan kos sara hidup serta kebimbangan terhadap defisit fiskal negara.

Isu keselamatan awam juga dijangka menjadi antara topik utama kempen, terutama di kawasan yang berdepan pengaruh kuat kumpulan jenayah terancang.

Sementara itu, siasatan berkaitan rasuah turut menjejaskan kedua-dua kem politik.

Flavio Bolsonaro sedang disiasat berhubung dakwaan usaha mendapatkan pembiayaan daripada seorang pegawai bank yang dikaitkan dengan penipuan kewangan, manakala salah seorang anak Lula pula sedang disiasat atas dakwaan rasuah dan penyalahgunaan pengaruh.

Lula turut menepis kebimbangan mengenai faktor usia yang mungkin menjejaskan keupayaannya untuk terus memimpin negara.

Beliau berkata amalan berjalan kaki dan latihan kecergasan secara berkala membolehkannya kekal sihat dan berada dalam keadaan fizikal yang baik.

Pilihan raya Oktober ini dijangka menjadi ujian penting buat Lula, dengan penyokongnya mengangkat pengalaman dan rekod kepimpinan sebagai kekuatan utama, manakala lawan politik dijangka menumpukan perhatian kepada isu kos sara hidup, keselamatan awam dan kontroversi yang melibatkan kerajaan semasa.

 

 

Must Watch Video

Advertisement