Presiden Filipina Rodrigo Duterte pada Isnin berkata militan Daish dari Syria dan Iraq mungkin menubuhkan kumpulan di negaranya, namun jika itu berlaku, beliau memberi amaran bahawa dirinya akan melupakan soal hak asasi manusia demi memastikan rakyatnya selamat.

Duterte berkata, wilayah Mindanao di selatan Filipina sudahpun menjadi ‘lubuk’ bagi pemberontak dan kumpulan penentang, maka beliau bimbang jika rangkaian keganasan antarabangsa mengeksploitasi situasi tersebut, lapor Reuters.

"Jika pengganas di Asia Barat keluar dari tempat mereka, mereka akan meneroka pula lokasi lain dan mungkin datang ke sini. Oleh itu, kami perlu bersedia berdepan kemungkinan itu.

“Harus diingat, militan ini tidak memahami hak asasi manusia. Saya tidak akan mudah mengizinkan rakyat saya disembelih atas nama hak asasi manusia,” ujarnya dalam ucapan di sebuah agensi penguatkuasaan undang-undang di sini.

Soal hak asasi manusia juga menjadi subjek kontroversi bagi Duterte, yang sudah mencetuskan amarah para aktivis dan pentadbiran Barat berikutan cara beliau melaksanakan peperangan terhadap masalah dadah di negaranya.

Ini termasuklah mengenai jumlah kematian suspek ‘pesalah dadah’ yang sangat banyak.

Sebagai penduduk asal Mindanao dan memegang jawatan Datuk Bandar Davao City selama 22 tahun, Duterte berkata terdapat penentangan golongan ektremis Islam yang sangat kuat di situ dan abu Sayaaf berleluasa menculik tebusan setiap hari.

Abu Sayyaf kini menahan 21 tebusan yang kebanyakan daripadanya warga asing. Meskipun pasukan keselamatan cuba untuk membanterasnya, ancaman tersebut masih belum berkurangan.

Duterte berkata Filipina dan Malaysia kini bekerjasama untuk memastikan ekstremis luar mendekati rantau ini.

Pada Jumaat, Duterte berkata beliau akan menggunakan kuasa eksekutifnya untuk menangani masalah pelanggaran undang-undang di Filipina dengan menggantung sementara habeas corpus, iaitu peruntukan dalam perundangan yang digunakan untuk memastikan tiada penangkapan atau penahanan tanpa perbicaraan.

Perlembagaan membenarkan peggantungan selama 60 hari dalam kes ‘pencerobohan atau pemberontakan, apabila aspek keselamatan awam memerlukannya’.

Ia juga membenarkan penangkapan tanpa waran dan penahanan tanpa pendakwaan selama tiga hari.

Duterte menyebut tentang habeas corpus pada Jumaat dalam konteks kekacauab di wilayah selatan dan juga pembanterasan masalah dadah. Jelasnya, untuk menyiapkan pertuduhan bagi menangkap suspek memerlukan masa dan sumber yang banyak.

Pejabat Presiden pada Isnin mengeluarkan kenyataan mengatakan Duterte memberi amaran tegas pada mereka yang bergerak di sebalik aktiviti keganasan.

Kata Duterte, beliau akan bertindak lebih dahsyat untuk mengekang mereka.