awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS menjelang anggaran KDNK suku keempat
Trump umum penubuhan ‘Lembaga Keamanan’ untuk Gaza
Tiga PPS masih aktif, jumlah mangsa menurun di Sarawak
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Machado dedah 'serah' Hadiah Nobel Keamanan kepada Presiden Trump

Agensi
Agensi
15/01/2026
23:50 MYT
Machado dedah 'serah' Hadiah Nobel Keamanan kepada Presiden Trump
Maria Corina Machado melambai ke arah penyokongnya ketika beredar dari White House, Washington, pada Khamis selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden AS Donald Trump. - Gambar Reuters
WASHINGTON: Ketua Pembangkang Venezuela, Maria Corina Machado memberitahu wartawan pada Khamis (15 Jan) bahawa beliau telah “menyerahkan” pingat Hadiah Nobel Keamanan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump - namun tidak jelas sama ada Presiden itu menerimanya, walaupun anugerah tersebut sekian lama menjadi sesuatu yang amat diinginkan Trump.
Machado berkata, tindakan itu dilakukan sebagai pengiktirafan berhubung “komitmen Trump terhadap kebebasan rakyat Venezuela.”
Pertemuan antara Trump dan Machado - berlangsung pada waktu makan tengah hari selama lebih sejam - dilihat sebagai pertemuan penting yang boleh mempengaruhi bagaimana pentadbiran Republikan itu menentukan hala tuju politik Venezuela pada masa depan.
Ia juga merupakan pertemuan pertama mereka secara bersemuka.
Selepas itu, Machado menghadiri pertemuan dengan sekumpulan senator dari kedua‑dua parti di Capitol Hill, lokasi di mana beliau lazimnya menerima lebih banyak sokongan.
Sementara kunjungan itu berlangsung, Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt berkata, Trump sememangnya menantikan pertemuan dengan Machado, namun menegaskan, Presiden kekal dengan penilaiannya yang “realistik” bahawa Machado belum memiliki sokongan mencukupi untuk memimpin negara dalam masa terdekat.
Machado, yang melarikan diri dari Venezuela melalui pelarian laut berisiko tinggi pada Disember lalu, kini bersaing mendapatkan perhatian Trump, sambil berusaha memastikan beliau mempunyai peranan dalam proses pentadbiran negara pada masa depan.
Selepas Amerika Syarikat menahan bekas Presiden Nicolas Maduro dalam operasi ketenteraan awal bulan ini, pelbagai tokoh pembangkang, pemimpin diaspora Venezuela serta ahli politik di AS dan Amerika Latin menyatakan harapan bahawa Venezuela akan memulakan proses pendemokrasian.
“Saya tahu Presiden menantikan pertemuan ini dan menjangkakan perbincangan yang baik dan positif dengan Machado, yang merupakan suara berani dan signifikan bagi rakyat Venezuela,” kata Leavitt ketika taklimat media.
Harapan ke arah demokrasi
Senator Demokrat, Chris Murphy, antara mereka yang bertemu Machado berkata, pemimpin pembangkang itu memberitahu bahawa penindasan di Venezuela “tidak ada bezanya” berbanding era Maduro.
Beliau menambah bahawa Presiden sementara, Delcy Rodríguez adalah “tokoh yang bergerak” dan semakin kukuh kedudukannya setiap hari, dibantu sokongan Trump.
“Saya berharap pilihan raya dapat dijalankan, tetapi saya kekal skeptikal,” kata Murphy.
Trump sebelum ini mengatakan tumpuannya adalah memastikan akses AS kepada sumber minyak Venezuela serta membantu pemulihan ekonomi negara itu.
Presiden AS itu juga beberapa kali memuji Rodríguez - bekas orang nombor dua Maduro yang mengambil alih kuasa selepas beliau ditahan.
Dalam wawancara bersama Reuters pada Rabu, Trump berkata: “Beliau sangat baik untuk berurusan dengan kami.”
Di Venezuela, Rodríguez turut menyatakan akan mencadangkan pembaharuan terhadap industri minyak negara itu.
Machado sebelum ini dihalang daripada bertanding dalam Pilihan Raya Presiden 2024 oleh mahkamah yang dikuasai sekutu Maduro.
Pemerhati antarabangsa secara meluas percaya Edmundo Gonzalez - calon pembangkang yang disokong Machado - memenangi pilihan raya tersebut dengan majoriti besar.
Namun, Maduro mendakwa kemenangan dan kekal berkuasa.
Walaupun kerajaan sementara kini telah membebaskan puluhan tahanan politik, kumpulan hak asasi dan pemerhati berkata jumlah itu dibesar‑besarkan oleh Caracas.
Apabila ditanya pada Rabu sama ada beliau mahu Machado memberikan pingat Nobel kepadanya, Trump menjawab kepada Reuters: “Tidak, saya tidak berkata begitu. Beliau yang memenangi Hadiah Nobel Keamanan.”
Institut Nobel Norway pula menegaskan bahawa anugerah itu “tidak boleh dipindahkan, dikongsi atau ditarik balik.” - Agensi
Topic Berkaitan
#Hadiah Nobel Keamanan
#Ketua Pembangkang Venezuela
#Maria Corina Machado
#Donald Trump
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan