KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan berangkat ke Majlis Berbuka Puasa dan Perasmian Masjid Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Sultan Ibrahim, di sini.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pada 7 malam disambut oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir.
Advertisement
Turut berangkat Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Al-Haj Sultan Ibrahim.
Hadir sama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman.
Majlis dimulakan dengan Yang di-Pertuan Agong berkenan merasmikan Masjid UPNM Sultan Ibrahim dengan menandatangani plak perasmian sebagai simbolik pembukaan rasmi masjid berkenaan.
Sejurus majlis itu, Sultan Ibrahim berangkat menyertai jamuan berbuka puasa dan menunaikan solat maghrib berjemaah bersama-sama warga UPNM.
Seri Paduka Baginda kemudian berangkat pulang kira-kira 8.10 malam.
-- BERNAMA