Macron akan umum perdana menteri baharu Perancis dalam tempoh 48 jam

Macron telah menerima laporan akhir daripada Lecornu selepas rundingan intensif selama dua hari dengan parti-parti politik utama. - Foto fail/REUTERS
PARIS: Presiden Perancis, Emmanuel Macron, dijangka menamakan perdana menteri baharu dalam tempoh 48 jam, susulan peletakan jawatan Sébastien Lecornu yang hanya sempat memegang jawatan selama 27 hari - menjadikannya pentadbiran paling singkat dalam sejarah moden negara itu.
Ringkasan AI
- Susulan peletakan jawatan Sbastien Lecornu selepas hanya 27 hari berkhidmat, Presiden Perancis Emmanuel Macron akan menamakan perdana menteri baharu bagi mengatasi kebuntuan politik.
- Rundingan dua hari bersama parti utama menunjukkan majoriti menolak pembubaran Parlimen, membuka laluan kepada pelantikan baharu tanpa pilihan raya tergempar.
- Pelantikan baharu dijangka penting untuk membentangkan bajet negara dan menangani hutang EURO 3.4 trilion, di tengah tekanan politik dan desakan agar Macron meletak jawatan.
Lecornu, yang sebelum ini berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan, berkata dalam temu bual televisyen bahawa kemungkinan untuk membubarkan Parlimen semakin berkurangan.
“Terdapat majoriti yang menolak pilihan raya baharu. Ini membuka laluan kepada pelantikan perdana menteri baharu,” katanya.
Krisis politik Perancis semakin meruncing selepas dua perdana menteri terdahulu, Michel Barnier dan François Bayrou, digugurkan melalui undi tidak percaya berikutan pembentangan bajet berunsur penghematan.
Lecornu sendiri berdepan tekanan hebat selepas membentangkan kabinet pro-Macron yang dikritik hebat oleh pihak kanan dan kiri.
Menurut sumber istana, pelantikan perdana menteri baharu akan memberi peluang kepada kerajaan untuk membentangkan bajet negara sebelum hujung tahun, termasuk menangani isu hutang negara yang kini mencecah €3.4 trilion (RM16.7 trilion), bersamaan 114 peratus daripada KDNK.
Lecornu turut menekankan bahawa calon perdana menteri baharu perlu bebas daripada sebarang cita-cita politik menjelang pilihan raya presiden 2027.
“Kita perlukan pasukan yang fokus menyelesaikan masalah rakyat, bukan mengejar jawatan,” katanya.
Walaupun nama calon perdana menteri baharu masih belum diumumkan, spekulasi terus meningkat di tengah-tengah tekanan politik dan desakan dari pelbagai pihak termasuk bekas perdana menteri Edouard Philippe yang menggesa Macron agar meletak jawatan.
Macron setakat ini menolak cadangan tersebut dan bertekad untuk meneruskan mandatnya sehingga 2027.
Pelantikan perdana menteri baharu dijangka menjadi penentu sama ada pentadbiran beliau mampu keluar daripada krisis atau terus berdepan kebuntuan politik.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami