Skip to main content

Bisnes

Elon Musk cipta sejarah jadi 'trilionwan' pertama dunia

41761701807_ElonMusk.jpg
Kedudukan terbaharu itu menyaksikan Musk (foto) meninggalkan jurang besar dengan individu kedua terkaya dunia, termasuk pengasas bersama Google, Larry Page, yang memiliki kekayaan sekitar AS$292.7 bilion (kira-kira RM1.19 trilion). -Gambar fail

NEW YORK: Pengasas SpaceX dan Tesla, Elon Musk, mencipta sejarah sebagai manusia pertama di dunia mencapai status 'trilionwan' selepas nilai kekayaan peribadinya melepasi AS$1.1 trilion (kira-kira RM4.46 trilion).

Lonjakan luar biasa itu disahkan melalui semakan terkini oleh Forbes dan The Wall Street Journal sebelum pembukaan pasaran saham pada Jumaat, didorong terutamanya oleh pegangan ekuiti Musk dalam SpaceX yang kini dianggarkan bernilai sekitar AS$866 bilion, selain aset dalam Tesla.

Pencapaian bersejarah itu menyusuli kejayaan tawaran awam permulaan (IPO) SpaceX di Nasdaq di bawah simbol ‘SPCX’, yang berjaya mengumpul AS$75 bilion (kira-kira RM304 bilion), sekali gus menjadi IPO terbesar dalam sejarah dunia.

Melalui penyenaraian tersebut, nilai permodalan pasaran SpaceX kini mencecah AS$1.77 trilion (kira-kira RM7.18 trilion), mengukuhkan kedudukannya sebagai antara syarikat paling bernilai di dunia.

Kedudukan terbaharu itu menyaksikan Musk meninggalkan jurang besar dengan individu kedua terkaya dunia, termasuk pengasas bersama Google, Larry Page, yang memiliki kekayaan sekitar AS$292.7 bilion (kira-kira RM1.19 trilion).

Penganalisis pasaran berkata kejayaan itu turut dipacu oleh penjenamaan semula SpaceX yang kini memberi tumpuan kepada sektor kecerdasan buatan (AI) dan robotik.

Strategi masa depan syarikat merangkumi pembangunan rangkaian pusat data AI di orbit angkasa lepas menggunakan sistem roket generasi baharu Starship, yang dilihat sebagai pemacu pertumbuhan jangka panjang.

 

Must Watch Video

Advertisement