KOTA BHARU: Syarikat pelancongan Syarikat Tong Bus & Tour Service Sdn. Bhd didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen Pasir Mas semalam, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan gagal menggunakan khidmat pemandu pelancong berlesen ketika mengendalikan aktiviti pelancongan dalam negeri.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataan memaklumkan Hakim Zulkpli Abdullah membuat keputusan itu selepas mendapati syarikat tersebut melakukan kesalahan mengikut Peraturan 6(1)(i)(iii) Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan (Perniagaan Pengendalian Pelancongan dan Perniagaan Agensi Pengembaraan) 1992.
“Sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut, syarikat itu boleh dikenakan hukuman penjara empat bulan. Bagaimanapun, syarikat terbabit membayar denda berkenaan,” menurut kenyataan itu.
MOTAC memaklumkan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Zulaikha Mahadi dan Pegawai Pendakwa Nurul Hidayah Aman serta dibantu Mohd Shukri Talib daripada Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan MOTAC.
MOTAC menegaskan kesalahan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 dan peraturan-peraturan di bawahnya ialah kesalahan jenayah yang serius dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang melanggar peruntukan undang-undang itu.
-- BERNAMA