Skip to main content

Dunia

Macron, Carney perkukuh hubungan Perancis-Kanada di tengah ketegangan dengan AS

France's President Emmanuel Macron and Canada's Prime Minister Mark Carney pose for a selfie as they meet in the small French territory of Saint Pierre and Miquelon, France, on Sep 20, 2026. (Photo: Reuters/Chris Tanouye)
Presiden Macron (kiri) dan Perdana Menteri Carney merakam swafoto sempena pertemuan di Saint Pierre dan Miquelon, wilayah Perancis berhampiran pesisir Atlantik Kanada, pada Ahad. - Gambar Reuters
Advertisement

SAINT-PIERRE, PERANCIS: Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Perdana Menteri Kanada, Mark Carney mengumumkan usaha memperkukuh hubungan dua hala pada Ahad ketika kedua-dua negara berdepan hubungan yang semakin tegang dengan Amerika Syarikat (AS).

Dalam sidang media bersama di wilayah kecil Perancis, Saint Pierre dan Miquelon yang terletak berhampiran pantai Atlantik Kanada, kedua-dua pemimpin menekankan kepentingan mempertahankan kedaulatan negara masing-masing dan mempererat kerjasama strategik.

“Kami percaya negara kami adalah dua negara besar dan merdeka yang mahu terus kekal sedemikian,” kata Macron.

Carney pula berkata, sejarah akan mengingati mereka yang mempertahankan kedaulatan dan berpegang teguh kepada nilai-nilai yang diyakini.

Sebelum itu, kedua-dua pemimpin memberi penghormatan di sebuah monumen yang memperingati penduduk kepulauan tersebut yang menyertai Pasukan Perancis Bebas semasa Perang Dunia Kedua.

Carney menegaskan, sudah tiba masanya Kanada memperkukuh hubungan dengan Perancis dan Kesatuan Eropah (EU), susulan lawatan beliau ke Brussels yang menyaksikan EU menawarkan status “anggota bersekutu” kepada Kanada.

Macron pula memaklumkan, kedua-dua negara akan memperluaskan kerjasama dalam bidang perikanan, keselamatan dan tenaga.

Selain itu, Carney mencadangkan Perancis, Kanada, AS dan China bekerjasama dalam pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Lawatan itu turut menyaksikan sambutan mesra antara kedua-dua pemimpin, dengan Macron menunggu ketibaan Carney yang menjadi Perdana Menteri Kanada pertama melawat wilayah berkenaan.

“Dalam dunia yang sedang berdepan krisis, persahabatan kita adalah satu kekuatan,” kata Macron menerusi hantaran di platform X.

Beliau turut menegaskan, kedua-dua negara komited mempertahankan kedaulatan, kebebasan membuat keputusan sendiri dan membina masa depan yang aman serta makmur.

Ketegangan dengan Amerika Syarikat

Kunjungan itu membawa simbolik yang besar kerana Saint Pierre dan Miquelon merupakan satu-satunya wilayah Perancis yang masih kekal di Amerika Utara, peninggalan daripada wilayah luas yang pernah dikuasai Paris di kawasan yang kini menjadi Kanada dan AS.

Macron sebelum ini berpendapat, penggal kedua Presiden AS, Donald Trump mengukuhkan hujah bahawa Eropah perlu menjadi lebih berdaulat, khususnya dalam aspek keselamatan.

Sementara itu, Carney berdepan pertikaian yang semakin memuncak dengan Trump, yang beberapa kali mencadangkan Kanada menjadi negeri ke-51 AS.

Cadangan Kanada untuk menjadi “anggota bersekutu” pertama EU turut dialu-alukan Carney, yang menyifatkan negaranya sebagai “negara paling Eropah dalam kalangan negara bukan Eropah.”

Kerajaan Kanada secara konsisten menolak kenyataan Trump berhubung kemungkinan pengilhakan negara itu ke dalam AS.

Minggu lalu, Trump menyiarkan imej peta Amerika Utara di media sosial yang memaparkan Kanada, Greenland dan Mexico, serta beberapa wilayah lain termasuk Saint Pierre dan Miquelon, dengan warna bendera AS.

Bagaimanapun, Macron ketika tiba di wilayah itu pada Sabtu menegaskan, Saint Pierre dan Miquelon kekal sebagai wilayah Perancis sambil menolak apa yang disifatkannya sebagai “idea pelik” mengenai status kepulauan tersebut.

Kongsi nilai yang sama

Pejabat Presiden Perancis memaklumkan, lawatan bersama itu bertujuan menonjolkan hakikat bahawa Kanada dan Perancis berkongsi nilai yang sama, termasuk kebebasan, demokrasi, kedaulatan undang-undang dan penghormatan terhadap kedaulatan negara.

Mesej itu sekali lagi ditegaskan dalam sidang media bersama mereka.

“Kami sama-sama percaya kepada demokrasi, kedaulatan undang-undang, perdagangan bebas dan adil, sains sebagai asas pembuatan keputusan serta autonomi strategik yang kami pertahankan,” kata Macron.

Beliau menambah bahawa nilai-nilai tersebut menjadi asas yang menyatukan Kanada dan Perancis, serta Kanada dan Kesatuan Eropah.

Carney pula berkata, hubungan Kanada dengan Perancis dan EU perlu terus diperkukuh berasaskan nilai bersama yang dikongsi kedua-dua pihak.

Saint Pierre dan Miquelon yang mempunyai populasi kurang daripada 6,000 penduduk berhampiran Newfoundland, merupakan antara beberapa wilayah luar negara Perancis yang memiliki kedudukan strategik di seluruh dunia.

Lawatan tiga hari Macron ke wilayah itu juga merupakan kunjungan pertama seorang Presiden Perancis ke sana dalam tempoh lebih sedekad. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement