Skip to main content

Dunia

Macron kongsi video Trump tandatangani MoU AS-Iran di Versailles

President Trump signed tonight at Versailles the agreement between Iran and the United States.
Macron menegaskan MoU itu membuka ruang kepada penyelesaian konflik yang lebih mampan, selain menjadi asas kepada kestabilan jangka panjang di Asia Barat. - Foto X/Emmanuel Macron
Advertisement

PARIS: Presiden Perancis Emmanuel Macron mendedahkan rakaman video yang menunjukkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara AS dan Iran di Istana Versailles, Paris.

Menerusi hantaran di platform X, Macron mengesahkan bahawa perjanjian tersebut dimeterai pada malam berkenaan, menyifatkannya sebagai perkembangan penting ke arah keamanan serantau.

“Presiden Trump menandatangani malam ini di Versailles perjanjian antara Iran dan Amerika Syarikat,” katanya.

 

 

Macron menegaskan MoU itu membuka ruang kepada penyelesaian konflik yang lebih mampan, selain menjadi asas kepada kestabilan jangka panjang di Asia Barat.

Beliau turut menekankan bahawa perjanjian tersebut bakal membawa kesan langsung kepada sektor tenaga global melalui pembukaan semula Selat Hormuz, salah satu laluan utama perdagangan minyak dunia.

“Perjanjian ini membuka jalan ke arah keamanan berkekalan dan membolehkan pembukaan semula Selat Hormuz,” katanya.

Menurut Macron, langkah membuka semula laluan maritim strategik itu dijangka membantu menstabilkan pasaran tenaga global, termasuk menurunkan harga minyak dalam tempoh terdekat.

Beliau menyifatkan perkembangan tersebut sebagai “langkah penting ke arah yang betul” bagi rakyat, khususnya dalam menghadapi tekanan kos sara hidup akibat kenaikan harga tenaga sebelum ini.

Krisis di Selat Hormuz sebelum ini telah mengganggu bekalan minyak global dan menyebabkan lonjakan harga, memandangkan laluan itu mengendalikan sebahagian besar penghantaran tenaga dunia.

Perjanjian AS–Iran ini turut mendapat sokongan luas daripada pemimpin dunia, dengan beberapa negara Eropah menyambut baik langkah tersebut sebagai usaha menamatkan konflik dan memulihkan kestabilan ekonomi global.

Macron sebelum ini menyifatkan kesepakatan itu sebagai “langkah sangat penting untuk keamanan dunia”, sambil menegaskan kepentingan pelaksanaan segera serta pembukaan sepenuhnya Selat Hormuz.

MoU yang ditandatangani ini merupakan peringkat awal ke arah perjanjian lebih komprehensif antara AS dan Iran, dengan rundingan lanjut dijangka diteruskan dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Walaupun masih terdapat isu penting yang perlu diselesaikan, termasuk program nuklear Iran dan sekatan ekonomi, perkembangan ini dilihat sebagai kemajuan besar dalam usaha menamatkan konflik yang telah menggegarkan rantau Asia Barat sejak beberapa bulan lalu.
 

Must Watch Video

Advertisement