NEW YORK: Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengkritik pendekatan diplomatik Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di Gaza dengan menegaskan masyarakat antarabangsa masih gagal membantu rakyat Palestin meskipun pelbagai dakwaan mengenai keamanan dikemukakan.
Berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada Selasa, Macron berkata keadaan di Gaza menunjukkan penderitaan penduduk awam masih berterusan walaupun terdapat pihak yang mendakwa kejayaan telah dicapai dalam usaha menamatkan konflik.
Dalam ucapan terakhirnya di PBB sebelum menamatkan penggal sebagai presiden tahun depan, beliau mempersoalkan keberkesanan usaha diplomatik yang tidak membawa kepada pembukaan semula laluan bantuan kemanusiaan ke wilayah berkenaan.
"Kita bercakap mengenai keamanan, namun bantuan kemanusiaan masih tidak dapat disalurkan kepada penduduk Gaza. Dunia tidak boleh terus berdiam diri melihat keadaan ini berterusan," katanya.
Kenyataan itu dibuat beberapa jam selepas Trump memuji pelan damai Gaza yang diusahakan pentadbirannya dan menyifatkannya sebagai satu kejayaan diplomatik.
Macron turut mempertahankan keputusan Perancis mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara tahun lalu, sambil menegaskan komuniti antarabangsa perlu menunjukkan komitmen yang lebih jelas dalam mempertahankan hak rakyat Palestin.
Beliau juga membangkitkan perkembangan di Tebing Barat yang menurutnya terus menyaksikan pelbagai pelanggaran hak berlaku walaupun wilayah itu tidak dikuasai Hamas.
Menurut Macron, keadaan tersebut semakin menyukarkan usaha merealisasikan penyelesaian dua negara yang selama ini dianggap jalan terbaik untuk menamatkan konflik Palestin-Israel.
Sebagai tindak balas, White House mempertahankan rekod Trump dengan menyatakan presiden AS itu berjaya menamatkan perang antara Israel dan Hamas selain memimpin pelaksanaan pelan keamanan di Gaza.
Jurucakap White House, Anna Kelly, berkata pentadbiran Trump telah mengambil langkah yang tidak mampu dilaksanakan pihak lain dalam usaha mewujudkan keamanan dan kestabilan di rantau itu.
Dalam ucapannya, Macron turut menyentuh hubungan yang semakin tegang antara Perancis dan Israel sejak setahun lalu, sambil menegaskan bahawa keselamatan Israel tidak boleh dibina melalui pencabulan kedaulatan negara-negara jiran.
Beliau turut memberi amaran bahawa dunia kini berdepan risiko kembali kepada politik berasaskan tekanan dan kekuatan kuasa besar, serta menyeru negara-negara anggota supaya terus mempertahankan peranan PBB dan sistem pelbagai hala dalam menyelesaikan konflik antarabangsa.
Macron dijadual meninggalkan jawatan sebagai presiden Perancis pada Mei tahun depan selepas hampir sedekad menerajui negara tersebut.